
“KERISAUAN saya tidak setimpal dengan keperluan mereka,” demikian pengakuan Syamsul Anam Riyadi, 40, tatkala menceritakan pekerjaan berisiko tinggi yang menjadi punca rezekinya sejak tiga tahun lalu.
Bagi bapa tiga anak berasal dari Desa Kertagena Laok, Kadur, Pamekasan, Indonesia itu, setiap hari beliau bertarung nyawa di ketinggian 25 meter, memanjat pokok kelapa laut tanpa sebarang alat keselamatan.
Hanya berbekalkan kekuatan lengan dan kaki, Syamsul dibayar sekitar Rp7,500 (RM2) hingga Rp10,000 (RM2.60) bagi setiap pokok yang daunnya ditebang.
BACA LAGI: Dari Sheikh Muszaphar hingga Zaquan Adha, 5 bapa bina keluarga besar penuh harmoni
“Daun pokok kelapa laut ini dipotong untuk dijadikan tikar. Saya sudah biasa 'berpindah' dari satu pokok ke pokok lain hanya dengan tiang buluh.
"Kadang-kadang, saya hanya sambung daun pokok kelapa laut di antara pokok dan bergerak.
"Kalau tersilap langkah, nyawa jadi taruhan,” katanya memetik laporan media negara berkenaan.
Syamsul sudah biasa 'berpindah' dari satu pokok ke pokok lain hanya dengan tiang buluh. — Agensi
Sejak rumah pusaka mereka runtuh pada 2021, Syamsul dan isterinya, Julaeha, 38, hanya mampu berlindung di sebuah pondok sempit berukuran empat meter persegi, berdinding buluh dan berbumbung terpal (kain kasar dan tebal).
Tiga anak mereka iaitu Nur Aini, 21, Ilza Matul Musyarofah, 14, dan si bongsu Erliza Ayuni Ramadiyanti, 7 terpaksa menumpang di rumah saudara agar dapat tidur lebih selesa.
“Saya sudah berusaha kumpul duit bina rumah baharu, tapi hasilnya hanya cukup untuk makan untuk sehari,” luahnya.
Cukup makan
Selain memanjat, Syamsul dan Julaeha turut menganyam daun pokok kelapa laut menjadi tikar.
Satu helai tikar mengambil masa sehari penuh untuk disiapkan, dengan harga jual sekitar Rp25,000 hingga Rp31,000 (RM6 hingga RM8).
Namun pendapatan itu cukup sekadar untuk membeli beras dan keperluan dapur.
Luah Syamsul, impian untuk membina semula rumah kediaman masih terlalu jauh.
“Setiap hari saya berdoa bukan untuk kaya, tapi supaya kami cukup makan dan anak-anak terus bersekolah,” katanya lagi.
Lebih menyedihkan, Syamsul mengakui tidak pernah sekalipun menerima bantuan daripada mana-mana program kerajaan.
“Kalau saya jatuh sakit, itulah yang paling saya takutkan. Sebab mereka semua perempuan, bimbang siapa akan jaga mereka,” ujarnya dengan nada sebak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram