Suri rumah lahir anak ke-3 di ruang tamu, suami, jiran jadi ‘bidan terjun'


  • Bonda
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Pradap (kiri), Latashni (dua dari kiri) bersama keluarga Dzukri dan Nur Amalina di hadapan rumah masing-masing. — Agensi

SAMBUTAN Hari Kebangsaan Singapura baru-baru ini meninggalkan kenangan luar biasa buat seorang suri rumah, Nur Amalina Mohamed Ismail, 34, apabila beliau selamat melahirkan anak ketiga di ruang tamu rumah sendiri selepas gagal bergegas ke hospital.

Kelahiran mengejut itu dibantu suaminya, Dzukri Bachtiar Mohammed Zulkifli, 40, dengan bantuan jiran, Latashni Gobi Nathan, 35; suaminya, Pradap Salgunan, 37, dan seorang tetamu jiran, Sangheeta Neela Selvakumar, 37.

Kejadian berlaku pada 10 Ogos lalu sekitar pukul 10 malam, selepas keluarga itu pulang dari bersiar-siar di kawasan Housing Development Board (HDB) mereka untuk menikmati pameran sempena Hari Kebangsaan bersama dua anak perempuan yang berusia tiga dan enam tahun.

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu muda asal Sabah tabah bersalin dalam hujan tepi lebuh raya Pasir Gudang, mulanya disangka mangsa kemalangan

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita hamil terkandas tanah runtuh di Sabah, bayi hampir lemas dalam kandungan selamat dilahirkan

Menurut Dzukri, isterinya sudah mula mengalami kontraksi sejak tengah hari namun tidak kerap atau menyakitkan. 

Namun, keadaan berubah pada pukul 9 malam apabila kesakitan semakin kuat, memaksa beliau membuat persiapan ke hospital.

“Ketika itu saya mengetuk pintu jiran untuk minta tolong menjaga anak-anak yang sedang tidur, sementara saya bawa isteri ke hospital. 

"Namun sebelum sempat bergerak, isteri saya sudah tersandar di kerusi ruang tamu. Niat ke hospital terpaksa dibatalkan,” katanya memetik laporan Berita Harian Singapura.

Dzukri (kanan) dan Nur Amalina bersama bayi mereka, Zeeana Illysha yang lahir pada 10 Ogos lalu.  — Agensi

Dalam keadaan cemas, jiran tersebut segera menghulurkan bantuan. 

Ujar Dzukri, walaupun sudah menghubungi ambulans pada pukul 10.15 malam, masa tidak menyebelahi mereka.

"Tepat pukul 10.31 malam, isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan di lantai ruang tamu rumah.

Menurut Nur Amalina pula, biarpun ia merupakan kelahiran ketiga, beliau tetap bimbang akan keselamatan diri dan bayinya.

“Kebimbangan saya hanya satu iaitu keselamatan bayi. Saya risau sebab tidak berada di hospital yang lebih steril, tapi syukur kerana suami dan jiran-jiran ada bersama,” katanya.

Ambulans tiba tidak lama selepas kelahiran dan paramedik membantu memotong tali pusat sebelum membawa ibu dan bayi berkenaan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Bagi pasangan itu, pengalaman tersebut menjadi bukti semangat gotong-royong  masih kukuh dalam kalangan masyarakat.

“Setelah dibawa ke hospital, Latashni bantu bersihkan lantai rumah sebelum pulang. 

"Kami amat terharu dengan pertolongan mereka. Hubungan antara dua keluarga ini kini semakin erat.

"Malah Latashni sudah dianggap sebagai ibu angkat kepada bayi kami yang baru lahir ini,” ungkap Dzukri sambil berseloroh, ibunya menyifatkan suasana malam itu bagai 'riuh sekampung'. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram