Dari blogger remaja ke usahawan kecantikan, Jane Chuck tak kejar 'like', populariti


  • Sukses
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Jane kini menjadi antara pilihan utama jenama-jenama mewah antarabangsa. — Instagram/janechuck

JAUH sebelum bergelar usahawan berjaya, nama Jane Chuck mula dikenali sebagai penulis blog ketika usianya baru mencecah 14 tahun. 

Blog peribadinya yang masih wujud sehingga kini pernah menjadi ruang perkongsian pelbagai topik, daripada tip membentuk kening sempurna, pengalaman membeli kereta pertama, minat terhadap K-pop sehinggalah ulasan beberapa restoran.

Pada 2017, Jane mula menulis tentang pengalamannya di Paris bersama jenama mewah Omega, menandakan titik penting dalam peralihannya daripada blogger remaja kepada pempengaruh gaya hidup dengan pengikut setia semakin bertambah.

BACA LAGI: 'Mak pesan buat baju jangan seksi-seksi', titipan bonda jadi pegangan Hafiza bawa jenama fesyen Muslimah

BACA LAGI: [VIDEO] Dari temu bual ke rakan kongsi spa, kolaborasi Tyra dan Raja Amanda mampu raih lebih RM100,000 sebulan

Jane sentiasa berpegang pada prinsip menjadi diri sendiri dan merendah diri. — Instagram/janechuck

Kini dengan lebih 600,000 pengikut di Instagram dan 314,000 di Facebook, Jane atau nama sebenarnya Jane Lau menjadi pilihan utama jenama-jenama mewah antarabangsa. 

Jun lalu, ibu seorang anak itu bergaya dengan beg Gucci, sebelum itu mengenakan Louis Vuitton. 

Pada Mei, beliau tampil dengan jam tangan Chanel J12 dan kasut Valentino Royco, selain turut menerima produk daripada Chloe dan YSL. 

Kehadirannya di Shanghai, China untuk Ralph Lauren dan Berlin untuk Armani Beauty baru-baru ini turut menambah kredibiliti sebagai ikon gaya hidup.

Sebagai wanita yang sentiasa sibuk, Jane mengakui agak sukar baginya mencari ruang berehat. — Instagram/janechuck

Populariti

Walaupun kerap dikaitkan dengan dunia fesyen dan kecantikan, pengasas kepada dua jenama kecantikan dan gaya hidup iaitu Chuck’s dan Motherchuckers itu menegaskan prinsipnya tetap sama. 

"Saya sentiasa berpegang pada prinsip menjadi diri sendiri dan merendah diri. 

"Bagi saya, ini bukan soal kejar 'like' atau populariti, tapi lebih penting untuk konsisten bersama komuniti yang saya bina selama ini,” katanya.

Pada 2019, beliau melancarkan jenama kecantikan Chuck’s menekankan falsafah penjagaan kulit Korea, keaslian dan penjagaan diri melalui penceritaan jenama yang kuat. 

Produk ikoniknya, Self-Love Face Masks, menjadi pilihan ramai pengguna yang mahukan penyelesaian kulit lebih berkesan. 

Jane (kanan) bersama suami dan anaknya. — Instagram/janechuck

Malah pada 2023, Self-Love For All Honey Cream meraih anugerah Best Cream for Dry Skin pada Harper’s Bazaar Malaysia Beauty Awards.

“Chuck’s berkembang perlahan, tetapi dengan niat yang jelas. Saya percaya pada asas kukuh iaitu dalam pasukan bersama komuniti dan melalui produk kami. 

"Ia mengajar saya tentang kesabaran dan tujuan melangkaui bisnes semata-mata,” jelas Jane. 

Selain memaparkan fesyen dan kecantikan, hantaran di media sosial Jane juga sering diselang-seli dengan momen bersama keluarga. 

Beliau berkahwin dengan Han Pin, usahawan dan pempengaruh yang turut aktif dalam dunia fesyen serta kecergasan menerusi syarikat diasaskannya, Pwrhouse. 

Bersama anak lelaki mereka, pasangan tersebut sering berkongsi detik kehidupan yang tampak sempurna, sekali gus mengukuhkan jenama peribadi dan perniagaan mereka. 

“Namun kami tidak memuat naik semua perkara dalam kehidupan kami, hanya apa yang orang mahu lihat,” akui beliau.

Jane gemar memakai 'sheet mask' selepas hari yang panjang. — Instagram/janechuck

Idea kreatif

Idea kreatif usahawan tersebut banyak lahir daripada media sosial dan pengalaman melancong. 

Menurutnya, beliau gemar meneliti pelbagai akaun Instagram merangkumi fesyen, kecantikan, muzik hingga ke komedi, lalu menyimpan hantaran yang memberi inspirasi untuk dijadikan rujukan.

Sebagai wanita yang sentiasa sibuk, Jane mengakui agak sukar baginya mencari ruang berehat. 

Namun, beliau mempunyai rutin tersendiri bagi menenangkan diri, termasuk dengan memakai sheet mask selepas hari yang panjang selain mendapatkan urutan badan penuh setiap minggu.

Dalam bidang keusahawanan, usahawan yang pendiam dalam kalangan rakan-rakan itu tidak terlepas daripada cabaran. 

Beberapa usahanya pernah saja menemui kegagalan, namun setiap pengalaman itu dijadikan asas untuk membina kejayaan. 

“Setiap kegagalan mengajar saya sesuatu yang baharu. Pelajaran awal itulah yang menjadi asas kepada segala yang dibina hari ini,” ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram