
FIGURA bernama Christy Ng bukan sahaja sinonim dengan rekaan kasut dan beg yang bergaya, tetapi juga nilai kekeluargaan dan keharmonian di tempat kerja.
Di sebalik pintu kaca pejabatnya, terbentang suasana kerja yang hangat dengan gelak tawa dan persahabatan.
Usahawan berbangsa Cina itu meluahkan rasa syukur dan bangga kerana dapat membina ikatan erat bersama kakitangannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Saya cipta produk biar semua mampu beli, tak nak pelanggan stress — Christy Ng
Menganggap seperti keluarga sendiri, pengasas jenama fesyen beg tangan dan kasut, Christy Ng berkata, ramai daripada pekerjanya telah bersama beliau sejak permulaan syarikat ditubuhkan.
“Tak tahu macam mana nak cerita tapi (kami mempunyai) hubungan yang sangat erat,” katanya kepada Majoriti.
Bagi Christy, rahsia keharmonian itu mudah, ia terbina berlandaskan nilai-nilai tolak ansur, persefahaman dan komunikasi yang jujur.
Sebagai pemilik perniagaan berbangsa Cina yang bekerja rapat dengan kakitangan pelbagai kaum, Christy menjelaskan, hubungan itu terbina berlandaskan nilai-nilai tolak ansur, persefahaman dan komunikasi yang jujur.
“Saya sangat gembira dan seronok tengok mereka di pejabat. Saya benar-benar menikmati masa bekerja dengan mereka,” katanya.
The Bengap Brothers terdiri daripada kakitangan lelaki di syarikat Christy Ng.
Kemudahan surau
Tidak hanya sanggup berbelanja lebih RM30,000 untuk perbelanjaan barangan pantri syarikat, Christy juga mengambil inisiatif menyediakan kemudahan surau lebih besar berbanding di pejabat lamanya.
Kemudahan itu ungkapnya, membolehkan lebih ramai pekerja menunaikan solat serentak, seterusnya menjadikan kerja lebih produktif dan efisien.
“Dari awal lagi kita memang ada surau, tetapi apabila staf makin ramai, ruang terlalu sempit.
"Jadi kita sediakan surau lebih besar dan selesa supaya lebih ramai boleh solat sekali gus,” jelas pemilik Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi dan Sains Hayat daripada Universiti Industri Selangor (kini Universiti Selangor) itu.
Christy juga menegaskan keutamaan diberikan kepada rakyat Malaysia untuk mengisi jawatan di syarikatnya.
“Ini jenama dan syarikat Malaysia. Jadi kita memang beri keutamaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Sebagai pemimpin, beliau tidak menafikan kadangkala berlaku perbezaan pandangan berkaitan kerja.
Namun, kongsi anak sulung daripada dua beradik itu, semuanya dapat diatasi kerana mereka berkongsi visi yang sama.
“Ketika bekerja biasalah ada perselisihan pendapat tapi paling penting, kita semua ada matlamat dan visi yang sama.
"Jadi walaupun ada konflik kecil, kita akan cari jalan untuk selesaikannya demi kebaikan syarikat,” katanya.
Bagi Christy, inilah resipi yang menjadikan jenamanya terus berkembang, bukan hanya kerana produk, tetapi ikatan erat antara seluruh pasukan yang sudah dianggap keluarga.
Peminat tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama 'The Bengap Brothers'.
'The Bengap Brothers'
Jika sebelum ini Christy Ng lebih dikenali dengan rekaannya, kini satu lagi elemen baharu menjadikan jenama itu semakin dekat di hati pelanggan.
Nampak gayanya, percaturan menghasilkan kandungan kreatif bersama sekumpulan pekerja syarikat itu sendiri membuahkan hasil tak dijangka.
Sejak kerap berkongsi video lucu di media sosial, kumpulan pekerja Christy yang tampil dalam kandungan berkenaan kini cukup popular sehingga digelar peminat sebagai 'The Bengap Brothers'.
Jolokan itu diambil sempena filem Blood Brothers selepas melakonkan video parodi filem arahan gandingan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu.
“Mereka selalu buat perkara lucu, setiap hari saya ketawa dengan mereka. Jadi saya fikir pelanggan pun tentu akan terhibur.
"Saya selalu kata pada mereka, buat sahaja depan kamera dan biar dunia tengok,” kata Christy.
Berbeza dengan sebilangan besar jenama yang cenderung mengangkat model berwajah komersial, lain pula 'corak permainan' wanita berusia 36 tahun itu.
Sebaliknya, pelakon utama dalam konten tersebut dibintangi pekerja sepenuh masa jenama itu sendiri seperti Najib yang bertugas di (khidmat pelanggan), Din (pengarah seni), Farid (jurufoto), Haniff (bekas pengacara siaran langsung) dan Budi (juruvideo).
Christy menegaskan pilihan itu dibuat kerana mereka sudah seperti keluarga.
“Ada yang bersama saya lebih 10 tahun. Saya tengok wajah mereka setiap hari, mereka sebahagian besar hidup saya. Jadi mengapa tidak saya kongsi kepada orang di luar?” ujarnya.
Tambahnya lagi, langkah berani mengetengahkan wajah-wajah biasa inilah yang sebenarnya memberi nilai tambah kepada jenama milik usahawan yang dilahirkan dan dibesarkan sebagai anak kampung di Kluang, Johor.
“Biasanya jenama besar guna wajah ‘jambu’ atau komersial tapi bagi saya, mereka pun kacak dengan cara tersendiri.
"Mungkin muka mereka tak seperti Brad Pitt tapi mereka juga kacak dan berwajah eksotik yang menyenangkan ramai orang,” selorohnya.
Selain itu, kandungan kreatif itu juga membuka sisi lain dirinya yang sebelum ini dianggap terlalu serius.
"Ramai orang anggap saya sudah berusia sekitar 56 atau 57 tahun dan fikir saya tegas kerana wajah nampak garang. Memang saya kelihatan serius kerana menggalas tanggungjawab besar.
"Namun hakikatnya saya tenang dan suka bergurau. Konten ini menunjukkan sisi saya yang lebih santai dan kelakar. Ia buat pelanggan rasa lebih rapat dengan kami,” jelasnya yang bakal memperkenalkan 'The Bengap Sisters' pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram