
LEBIH segar dan memukau, jenama kasut dan beg wanita terkemuka Malaysia, Christy Ng baru-baru ini meraikan pembukaan semula butik di MyTown Shopping Centre, Kuala Lumpur.
Butik yang mula beroperasi pada 2017 itu kini berwajah baharu dengan konsep dalaman imersif Cave of Curiosities menampilkan permainan tekstur dan bentuk untuk membangkitkan rasa kagum pengunjung.
Reka bentuk itu menjadi lembaran baharu dalam pengalaman beli-belah jenama tersebut, menggabungkan sofistikasi tenang dengan falsafah reka bentuk pengasasnya, Christy Ng.
BACA LAGI: Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal
“Pengunjung akan menikmati persembahan produk lebih eksklusif, pengalaman lebih menyeronokkan dan nilai yang lebih tinggi untuk setiap pembelian,” kata Christy ketika ditemui pada majlis pembukaan semula butik flagship tersebut pada Isnin.
Usahawan kelahiran Kluang, Johor itu begitu menekankan konsep barangan mampu milik yang menjadi teras strateginya.
Akui Christy, sudah menjadi impiannya untuk memastikan pelanggan berkunjung ke butik tanpa rasa tertekan.
"Saya datang dari keluarga miskin, jadi saya nak cipta sesuatu yang semua orang mampu beli produk kami tanpa mengira latar. Sesuatu yang dipanggil accessible luxury untuk pengguna di luar sana.
"Saya tak nak pelanggan masuk kedai rasa stress sebab tak mampu. Kami nak pelanggan bayar RM1, tapi dapat kualiti RM2, nilai RM3," ujarnya yang menyasarkan pembukaan 15 cawangan Christy Ng di seluruh negara, manakala lima di Indonesia pada tahun ini.
Christy berhasrat untuk memastikan pelanggan berkunjung ke butik tanpa rasa tertekan. — Christy Ng
Pembukaan semula butik tersebut juga menandakan usaha berterusan Christy untuk meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Ia hadir selepas kejayaan pembukaan butik utama luar negara di Jakarta, Indonesia pada Februari lalu dan bakal disusuli dengan pelancaran cawangan di Manila, Filipina pada Oktober depan.
Christy mengakui, pasaran luar negara jauh lebih kompetitif, justeru jenama itu perlu sentiasa meningkatkan 'permainan' dari segi rekaan, kualiti dan pengalaman beli-belah.
“Kami beroperasi secara multi-channel, termasuk perniagaan borong dan e-dagang. E-dagang adalah tunjang utama, malah kami menghantar ke 50 negara di seluruh dunia.
"Inilah kekuatan yang membuatkan kami yakin untuk bersaing di pasaran antarabangsa,” katanya.
Pembukaan semula butik menandakan usaha berterusan Christy untuk meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa. — Christy Ng
Jelasnya lagi, media sosial memainkan peranan besar dalam melonjakkan perniagaannya lebih daripada 100 peratus.
Melalui video dan interaksi di platform tersebut, pelanggan dapat mengenali jenama dan pasukan di sebaliknya dengan lebih dekat, sekali gus membina kepercayaan.
“Media sosial adalah saluran yang sangat baik untuk kami berkomunikasi secara terus dengan pelanggan, mendengar masalah mereka dan berkongsi cerita di belakang tabir.
"Ia menjadikan hubungan kami lebih rapat dan mesra,” ujarnya yang mengakui sifat berani dan 'muka tebal' adalah kunci kejayaannya dalam menghasilkan kandungan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram