
DARI East London ke pentas global, perjalanan Eni Awoyemi sebagai pengasas feYi Flowers berjaya mencuri perhatian dunia fesyen dan gaya hidup masa kini.
Menggabungkan warisan Nigeria, latar hidup bandar dan semangat juang yang tidak pernah luntur, beliau tampil mendefinisikan semula industri bunga untuk generasi baharu.
Dinamakan sempena anak perempuannya, jenama feYi dibina berasaskan cinta, kreativiti dan misi memperkasakan suara-suara yang kurang diberi perhatian.
BACA LAGI: Beri kucing peliharaan sarapan kaviar, 'Crazy Rich Asian' ini cipta fenomena 'Becca Bloom'
“Saya mahu setiap orang yang menerima jambangan bunga feYi merasai kegembiraan yang sama seperti maksud nama anak saya feYi, iaitu ‘kegembiraanku’ dalam bahasa Yoruba,” kata Eni.
Sejak dilancarkan pada awal 2024, feYi mencuri tumpuan di media sosial, menjadi tular di Instagram dan menarik ratusan pengunjung ke acara pop-up.
Berbeza daripada susunan bunga tradisional, setiap jambangan dihasilkan dengan gaya moden, penuh keceriaan dan dibalut dalam helaian bercorak ala surat khabar yang menjadi identiti unik jenama itu.
Menolak tradisi bunga sebagai hadiah romantis semata-mata, wanita tersebut membawa perspektif baharu yakni membeli bunga adalah satu bentuk perlambangan cinta kepada diri dan perayaan peribadi.
“Kami bukan sekadar jenama bunga, ini sebenarnya jenama fesyen dan kecantikan,” tegas beliau.
Falsafah itu diterapkan kepada pasukan feYi demi memastikan setiap jambangan dihasilkan dengan ketelitian dan persembahan setaraf produk fesyen mewah.
Eni diberhentikan kerja ketika membesarkan anak perempuannya seorang diri. — Agensi
Ibu tunggal
Di sebalik kejayaan dikecapi kini, perjalanan wanita berstatus ibu tunggal itu tidaklah mudah.
Pada 2020, Eni diberhentikan kerja ketika membesarkan anak perempuannya seorang diri.
Tanpa sebarang simpanan, beliau terpaksa menyewakan rumahnya sebagai Airbnb, berpindah tinggal bersama ibunya dan menjadikan sebuah stor kecil di halaman sebagai studio bunga.
Dari ruang sempit itulah, impiannya mula berkembang.
Sejak dilancarkan pada awal 2024, feYi mencuri tumpuan di media sosial termasuk tular di Instagram. — Instagram/feyiflowers
Idea ditiru
Namun, kebangkitan jenama itu tidak terlepas daripada cabaran.
Pada 2024, Eni mendakwa konsepnya ditiru oleh seorang usahawan terkenal dari United Kingdom (UK) dalam sebuah kempen berprofil tinggi.
Hantaran perbandingan imej itu menjadi tular, mencetuskan solidariti luas daripada wartawan, pempengaruh dan selebriti, termasuk penyanyi rap Stormzy.
Kejadian itu sekali gus membuka perbincangan besar mengenai kecurian idea, penghargaan terhadap karya kreatif dan cabaran berganda yang dihadapi usahawan wanita kulit hitam, daripada kekurangan dana hinggalah akses terhad kepada sumber untuk berkembang.
Tidak berpatah semangat, Eni menjadikan detik itu sebagai pemangkin dan sejak itu, populariti Faye Flowers melonjak drastik.
Populariti Faye Flowers melonjak drastik sejak konsep bisnesnya ditiru seorang usahawan terkenal. — Instagram/feyiflowers
Dengan sokongan komuniti yang semakin meluas termasuk strategi pengembangan rapi, feYi kini bukan sekadar syarikat bunga, tetapi berkembang sebagai jenama gaya hidup yang menjual lebih daripada jambangan.
Ia juga menjual pengalaman dan simbol bahawa kreativiti boleh menjadi bentuk penentangan.
“Apabila wanita kulit hitam berkarya dengan niat, pasaran akan berubah memihak kepada mereka,” ujar Eni penuh yakin.
Kini, perniagaan tersebut mencatat pendapatan antara £60,000 (RM340,000) hingga £70,000 (RM397,000) sebulan, membina komuniti pelanggan setia bukan sahaja di London tetapi juga di luar negara.
Malah, jenama itu turut berjaya menjalin kerjasama dengan nama-nama besar seperti Nike, Disney, Blank Street dan beberapa lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram