
RAJA pop, Michael Jackson yang meninggal dunia pada 2009, akan 'dihidupkan' semula dalam satu projek filem biografi bertajuk Michael tidak lama lagi.
Syarikat penerbitan, Lionsgate dilaporkan mengambil hak pengedaran untuk filem itu yang ditulis oleh John Logan.
Syarikat itu memberitahu bahawa filem berkenaan akan menjadi 'gambaran mendalam tentang kehidupan suka duka seorang lelaki yang dikenali sebagai Raja Pop.'
Biografi Michael dibuat dengan restu keluarga bintang pop itu dan ibunya Katherine Jackson nampaknya sangat teruja dengannya.
"Sejak Michael masih kecil, sebagai ahli The Jackson 5, dia menyukai keajaiban pawagam.
"Sebagai sebuah keluarga, kami berbesar hati untuk menghidupkan kisah keluarga kami di skrin besar," katanya.
Michael membikin lebih 400 juta rekod di seluruh dunia, memenangi 15 Grammy, Golden Globe dan mendapat pengiktirafan Rock and Roll Hall of Fame sebanyak dua kali.
Penyanyi Thriller itu juga terpalit kontroversi selama beberapa dekad, lebih-lebih lagi sejak beberapa tahun kebelakangan sebelum dia meninggal dunia.
Pada 1993, polis Los Angeles memberitahu, mereka sedang menyiasat dakwaan bahawa Michael mencabul empat kanak-kanak.
Dakwaan itu sekali lagi didedahkan dalam dokumentari HBO apabila James Safechuck yang bertemu penyanyi itu pada 1986 (ketika itu berusia 10 tahun) dan Wade Robson mendedahkan butiran jelas tentang penderaan selama bertahun-tahun yang mereka alami.
Dakwanya, mereka menderita di tangan Michael.
Mereka mendakwa dicabul penyanyi itu di ladang Neverland yang luas di Santa Barbara County, California, Amerika Syarikat dan pada satu ketika Raja Pop itu didakwa mengadakan perkahwinan olok-olok lengkap dengan ikrar dan cincin berlian dengan Safechuck.
Polis kemudiannya menahan Michael atas tuduhan mencabul kanak-kanak pada 20 November 2003 selepas dia didakwa atas 10 pertuduhan jenayah, termasuk mencabul kanak-kanak, penculikan, pemenjaraan palsu dan peras ugut.
Dia akhirnya dibebaskan pada 2005 sebelum meninggal dunia pada 2009 ketika usia 50 tahun.
Dengan penglibatan keluarga Jackson dalam projek itu, tidak jelas sama ada filem itu akan menyentuh kontroversi tersebut ataupun tidak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram