
PENCERAMAH bebas, Dai Izzhar Nazri menegaskan, suami yang berlaku curang dan mengkhianati isterinya tidak akan merasai kebahagiaan dalam hidup.
Malah ujarnya, suami yang melakukan perbuatan itu akan perlahan-lahan menjauh daripada ALLAH SWT.
"Saya tak pernah jumpa orang yang buat khianat pada isteri, hidup dia makin bahagia dan makin hampir dengan ALLAH,” katanya menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Jumaat.
BACA LAGI: ChatGPT 'bongkar' suami curang dengan wanita muda, siap beri klu nama mula dengan huruf 'E'
Justeru, Izzhar menasihatkan golongan lelaki yang sedang terjebak dengan perbuatan tidak setia, terutama jika melibatkan hubungan dengan isteri orang, supaya segera berhenti sebelum ditimpa kemurkaan ALLAH SWT.
Beliau berkata, apabila tiba masanya ALLAH SWT membongkar perbuatan curang tersebut, kehidupan individu itu nescaya akan hancur.
"Jadi pada suami, lelaki yang sedang menonton, yang sekarang ini isteri belum tahu apa yang kau tengah buat, cut off.
"Sebab satu hari bila ALLAH tunjuk, ALLAH akan hancur dan cerai-beraikan, jauhkan ramai manusia yang kita sayang, yang ada dengan kita hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Izzhar turut menitipkan pesanan buat isteri agar tidak salah memahami makna sebenar sabar.
Izzhar turut menitipkan pesanan buat isteri agar tidak salah memahami makna sebenar sabar.
Sabar katanya, bukan bermaksud duduk diam tanpa berbuat apa-apa, sebaliknya tidak berputus asa dengan pertolongan dan kasih sayang ALLAH SWT.
“Jangan takut untuk hilang kasih sayang daripada suami atau manusia. Kasih sayang ini ALLAH yang bagi, bukan suami,” tegasnya.
Menurut beliau, jika isteri sudah mengetahui kecurangan suami, tindakan segera perlu diambil dan jangan hanya berdiam diri.
Izzhar mencadangkan, dalam situasi itu, isteri digalakkan untuk terus pergi ke pejabat agama.
"Kalau suami enggan ikut sekali, pergi seorang diri. Laporkan perkara tersebut dan biar mahkamah tentukan.
“Ini bukan soal kurang sabar, tapi kerana sabarlah kita buat tindakan sebab dalam Maqasid Syariah, salah satunya adalah menjaga maruah. Ia kewajipan setiap orang berakal.
“Bukan seorang yang bijak kalau kita duduk diam tak berbuat apa-apa,” pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram