Kanak-kanak usia 7 tahun kreatif hias kek, raih perhatian global, mampu jana wang di YouTube


  • Bonda
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Membuat kek dan menghasilkan video menyeronokkan bersama sudah menjadi terapi buat Ellis dan ibunya. — Facebook/TheCakingGirl

BARU berusia tujuh tahun, namun bakat luar biasa Ellis Tang dalam seni menghias kek membuatkan ramai terpukau.

Kanak-kanak yang digelar prodigy kek itu mula menjadi tumpuan dunia selepas karyanya bersama ibu, Joanna Lo, tular di media sosial.

Kisah mereka bermula pada 2020, ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak buah tiru gaya 'aunty', ketawa ikonik Anzalna paling 'win'

BACA LAGI: [VIDEO] Diana elak snek bergula untuk anak, pilih buat manisan sendiri, ibu-ibu pun boleh cuba resipi mudah!

Joanna, 41, seorang pramugari berpangkalan di Toronto, Kanada yang turut mempunyai kerja sampingan sebagai artis kek, mula kembali membakar kek setelah diberhentikan kerja.

Aktiviti yang pada mulanya sekadar untuk mengisi masa lapang dan hiburan di rumah, bertukar menjadi titik tolak pada kejayaan besar hari ini.

“Ellis yang berusia tiga tahun ketika itu duduk di rumah dengan saya sepanjang masa kerana semua tempat ditutup.

"Apabila nampak saya menghias kek, dia cakap nak cuba. Jadi saya beri lebihan aising dan beberapa alat menghias kek.

"Dia boleh duduk selama dua jam menikmati aktiviti tersebut. Dari situ saya sedar bakatnya sangat besar,” kata Joanna.

Sejak itu, Ellis dan ibunya sudah menghasilkan puluhan video dengan pelbagai rekaan kek kreatif termasuk berbentuk vakum tangan khas untuk bapanya yang gemar mengemas, hinggalah kek diinspirasikan daripada filem Disney popular.

Ellis (dua dari kiri) bersama ibu (kanan) dan bapanya. — Facebook/TheCakingGirl

Aksi mereka bukan sahaja menghiburkan, malah mengagumkan jutaan pengikut di media sosial.

“Orang suka tengok hasil kerja dia, jadi kami buat lebih banyak kek.

"Saya tunjukkan juga proses pembelajaran di belakang tabir, iaitu saya buat satu kek di sebelahnya sementara Ellis akan mengikut setiap langkah dengan cepat,” jelas Joanna.

Ditanya rekaan kegemarannya, Ellis memilih kek diinspirasikan watak Mei dalam filem Disney dan Pixar Turning Red.

“Apabila Mei marah, dia bertukar jadi raksasa panda merah besar yang menakutkan, saya suka buat kek itu,” kongsi anak bongsu daripada dua beradik itu.

Selain gemar menghias, Ellis mengakui bahagian paling menyeronokkan adalah ketika menabur dan menikmati sprinkles.

“Perisa kegemaran saya ialah coklat, vanila dan strawberi,” katanya menambah teringin mencuba rekaan kek berbentuk semut, labah-labah dan belalang selepas ini.

Ellis (kiri) menghasilkan kek berbentuk pisang. — Facebook/TheCakingGirl

Bagi Joanna pula, aktiviti tersebut lebih daripada sekadar hobi.

Ceritanya, membuat kek dan menghasilkan video menyeronokkan bersama, ia ibarat terapi buat mereka.

"Satu hari diisi sepenuhnya dengan mencipta figura dan menghias kek, kami sangat menikmatinya,” ujar beliau.

Kejayaan pasangan ibu-anak itu semakin menyerlah apabila pada 12 Jun lalu, Joanna berkongsi kegembiraan menerima plak Silver Play Button YouTube selepas berjaya mengumpul lebih 100,000 pengikut dalam tempoh singkat.

“Kami mula muat naik di YouTube Shorts pada Januari. Dengan kerja sepenuh masa, memang sukar mencari masa untuk mengedit video.

"Tambahan pula, di Kanada kami tidak boleh menjana wang daripada kandungan di Instagram atau TikTok, jadi apabila akhirnya dapat jana kewangan di YouTube, ia sangat bermakna,” tulis Joanna di hantaran Facebook miliknya.

Joanna (kiri) menunjukkan plak Silver Play Button YouTube yang diterima selepas berjaya mengumpul lebih 100,000 pengikut dalam tempoh singkat. — Facebook/TheCakingGirl

Ujarnya, saat melihat plak berkenaan, Ellis bertanya maksud di sebaliknya.

“Ini tanda orang sayang hasil kerja kamu dan mereka sayang kamu juga.

"Ellis sangat teruja dan mahu yang lain tahu dia juga sayang semua orang yang menyokongnya,” tutur Joanna.

Kini, Ellis kerap dijemput menghadiri program bual bicara untuk berkongsi pengalamannya selain aktif menyertai pertandingan menghias kek termasuk di peringkat antarabangsa dan berjaya membawa pulang kemenangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram