Calon menantu perlu jawab 30 soalan fardu ain, tunjuk rekod CCRIS sebelum masuk meminang


  • Cinta
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Pendekatan ini dianggap sebagai usaha mengembalikan perkahwinan kepada nilai asas yang dianjurkan agama. — Gambar hiasan/Canva

DI sebalik trend hantaran dan mahar tinggi menjadi kebiasaan dalam perkahwinan masa kini, ada keluarga memilih untuk menilai bakal menantu berdasarkan ilmu agama dan rekod tanggungjawab berbanding jumlah wang.

Pendekatan tersebut sekali gus menekankan bahawa persediaan membina rumah tangga lebih daripada sekadar kemampuan kewangan.

Malah, memerlukan kekuatan pegangan agama, akhlak yang baik dan kesediaan memikul tanggungjawab bersama. Ia juga dilihat sebagai langkah mengembalikan tujuan perkahwinan kepada nilai asas ditetapkan agama.

BACA LAGI: Pengorbanan ibu rahsia kejayaan, Johan Ghazali hadiahkan jam Rolex dari hasil ganjaran kemenangan

BACA LAGI: Bukan hanya gua sha, ketahui teknik senaman muka boleh diamalkan pengantin sebelum naik pelamin

Perkongsian seorang pengguna di platform Threads, beliau mendedahkan bahawa semua adik-beradik perempuannya berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan sains, sains perubatan dan sains kejururawatan hanya menerima mahar antara RM1,000 hingga RM2,000 tanpa hantaran.

Menurutnya, calon suami perlu menjawab 30 soalan fardu ain merangkumi tauhid, tasawuf, feqah dan sirah serta mengemukakan rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) bagi menilai disiplin dan tanggungjawab.

“Menjawab 30 soalan ilmu fardu ain dan kemukakan rekod CCRIS semuanya dilakukan masa ipar saya datang berjumpa dengan orang tua. Apabila lulus barulah diberi kebenaran untuk membawa keluarga masuk meminang,” katanya.

Antara soalan ikemukakan termasuk penjelasan ringkas tentang sifat wujud bagi ALLAH, cara membina sifat sabar dan reda dalam menghadapi ujian rumah tangga serta menyatakan gelaran Nabi Muhammad SAW.

Pun begitu, beliau mengakui bahawa pengetahuan agama semata-mata tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga sekiranya tidak diamalkan secara konsisten.

Katanya, walaupun seseorang itu beragama dan bertanggungjawab, jika dalam diri tiada sifat ihsan dan simpati terhadap pasangan, rumah tangga tetap boleh goyah.

“Ada juga beragama, tetapi berlaku curang. Hakikatnya, ramai tahu tentang agama, namun mengamalkannya bukanlah sesuatu yang mudah, khususnya dalam perkahwinan. Sebab itu, pengetahuan agama semata-mata tidak menjamin apa-apa,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi pesanan bahawa dalam hidup manusia sebenarnya tidak memiliki apa-apa kerana semuanya milik ALLAH.

“Cuma tugas kita di dunia hanya mengusahakan sahaja… jangan letak harapan pada pasangan kita kerana dirinya dan hidupnya milik ALLAH,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram