ChatGPT 'bongkar' suami curang dengan wanita muda, siap beri klu nama mula dengan huruf 'E'


  • Benua
  • Isnin, 12 Mei 2025

Dakwa suami terbabit, isterinya mudah terpengaruh dengan trend viral. — Gambar hiasan/Freepik

DALAM satu kes pelik di Greece, seorang wanita bertindak memfailkan perceraian selepas didakwa menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membongkar kecurangan suaminya.

Agensi melaporkan, wanita tersebut menggunakan ChatGPT bagi menggantikan kaedah tradisional 'tasseography', iaitu membaca corak hampas kopi untuk meramal masa depan dan mendakwa AI mendedahkan hubungan sulit suaminya.

Pasangan tersebut berkahwin selama lebih 12 tahun dan mempunyai dua orang anak.

BACA LAGI: Jenama fesyen 'modest' sukar diiktiraf global walau perbelanjaan pengguna Islam dijangka cecah RM1 trilion menjelang 2027

BACA LAGI: Wanita di barisan hadapan transformasi AI, 3 tokoh Indonesia bangkit bawa perubahan dalam masyarakat

'Tasseography' ialah satu bentuk ramalan tradisional yang melibatkan tafsiran corak yang terbentuk daripada sisa daun teh atau hampas kopi pada dasar cawan. — Gambar hiasan/ Agensi 

Difahamkan, wanita itu memuat naik gambar corak hampas kopi dari cawan miliknya dan suaminya ke ChatGPT, lalu meminta AI tersebut menafsirkannya.

Hasil yang diterimanya mengejutkan berikutan AI didakwa menyatakan bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan seorang wanita muda yang ingin memecahbelahkan keluarga mereka.

Malah, chatbot itu turut menyebut seorang wanita misteri yang namanya bermula dengan huruf 'E' sebagai 'pasangan sebenar' si suami, manakala bacaan untuk dirinya pula memberi petunjuk tentang pengkhianatan dan keretakan rumah tangga.

Suaminya bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menganggapnya tuduhan tidak berasas.

Dalam temu bual bersama sebuah saluran TV tempatan, lelaki terbabit berkata, isterinya terlalu terpengaruh dengan trend viral.

“Saya anggap ia mengarut dan hanya ketawa. Tapi isteri saya anggap perkara itu serius.

"Dia minta saya keluar dari rumah, beritahu anak-anak kami akan bercerai dan selepas itu saya terima panggilan dari peguam. Masa itu baru saya sedar, ia bukan sekadar gurauan,” katanya.

Wanita itu enggan menyelesaikan secara baik dan hanya tiga hari kemudian menyerahkan dokumen rasmi penceraian kepada suaminya.

Menurut si suami, kejadian itu bukan kali pertama isterinya terlibat dengan kepercayaan pelik.

Dia sebelum ini pernah berjumpa ahli nujum dan mengambil masa hampir setahun untuk melupakan ramalan-ramalan tersebut.

Peguam si suami turut tampil menjelaskan bahawa tafsiran AI terhadap hampas kopi tidak boleh diterima sebagai bukti sah dalam undang-undang untuk membuktikan kecurangan.

“Anak guam saya tidak bersalah selagi belum dibuktikan sebaliknya,” katanya.

Kes ini mencetuskan perbincangan hangat di media sosial Greece, namun pakar undang-undang menegaskan bahawa dakwaan berdasarkan AI seperti ini tidak mempunyai sebarang kekuatan di mahkamah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram