ISU curang kerap kali menjadi punca keretakan rumah tangga ekoran kegagalan individu dalam mengawal emosi dan kemarahan.
Malah, ia juga boleh berakhir dengan tragedi berdarah ataupun kes pembunuhan yang nyata menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat hari ini.
Terbaharu, seorang lelaki maut ditikam di hadapan rumahnya di Taman Sri Pagi, Senawang, Negeri Sembilan pada 14 Ogos lalu selepas dilaporkan menjalin hubungan sulit dengan isteri orang.
BACA LAGI: Anak diserang kerana kes ugutan, Rafizi nafi 2 tuduhan berkait Ismail Sabri dan KJ
Hasil siasatan mendapati wanita terbabit sudah berkenalan dengan mangsa sejak sebulan lalu melalui laman sosial dan ditikam di kediamannya berpunca akibat perselisihan faham.
Susulan kes itu, laman sosial heboh dengan kenyataan segelintir pihak yang mendakwa hukum membunuh dalam konteks pasangan curang adalah dibenarkan dari sudut pandangan Islam.
Tampil merungkai hukum dan pendapat berdasarkan hadis Rasulullah, seorang penceramah dan Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis Dr. Rozaimi Ramle menjelaskan padangannya berkaitan isu berbangkit.

Dr. Rozaimi tampil menjelaskan hukum membunuh pasangan dalam konteks curang.
Menurutnya, hadis yang diriwayatkan al-Bukhari tentang kecemburuan sahabat Nabi, Saad bin Ubadah, tidak boleh difahami secara literal hingga menghalalkan tindakan membunuh pasangan atau lelaki yang berzina dengannya.
"Salah tafsir nas agama boleh menyebabkan seseorang bertindak ganas.
"Jika suami membunuh lelaki yang disyaki berzina dengan isterinya, dia sendiri boleh dihukum bunuh (qisas) atau dikenakan diyat," katanya di laman Facebook.
Hukuman hanya melalui pemerintah
Dr. Rozaimi menegaskan bahawa Islam menetapkan undang-undang hudud hanya boleh dijalankan oleh pemerintah, bukan orang awam.
Beliau memetik pandangan ulama seperti Ibn Mulaqqin yang menyatakan hudud tidak boleh ditegakkan kecuali oleh pemerintah.
وقال المهلب: هو دال على وجوب القود فيمن قتل رجلا وجده مع امرأته ؛ لأن الله وإن كان أغير من عباده فإنه أوجب الشهود في الحدود ، فلا يجوز لأحد أن يتعدى حدود الله ولا يسقط دما بدعوى
"Al-Muhallab berkata: Hal ini menunjukkan kewajipan qisas (hukuman bunuh) terhadap suami yang telah membunuh jantan yang ditemuinya (berzina) bersama isterinya. Meskipun Allah lebih cemburu daripada hambaNya, Dia telah mewajibkan saksi dalam perkara hudud (pensabitan zina). Maka tidak boleh bagi sesiapa pun melampaui batasan Allah dan tidak boleh ditumpahkan darah (bunuh orang lain) seseorang hanya berdasarkan dakwaan (tanpa bukti)".
Dalam pada itu, beliau turut menolak alasan sesetengah pihak yang mendakwa rakyat berhak melaksanakan hukum hudud kerana tidak termaktub dalam undang-undang negara.
"Jika hudud dilaksanakan sekali pun, bukan orang awam yang melaksanakannya apatah lagi dalam keadaan sekarang," katanya.
Cemburu itu fitrah, tapi ada batas
Mengulas sifat cemburu seorang suami, Dr Rozaimi menjelaskan ia adalah fitrah yang perlu ada dalam setiap rumah tangga namun, perkara itu tidak boleh menjadi alasan untuk melanggar syariat.
"Cemburu adalah tanda iman tapi sifat itu tidak membolehkan seseorang melanggar larangan ALLAH, walaupun marah dan kecewa, hukum tetap perlu dipatuhi," katanya.
Tegas menyatakan bahawa zina adalah dosa besar, namun beliau mengingatkan masyarakat agar memahami bahawa undang-undang Islam menetapkan prosedur jelas bagi pensabitannya, bukan dengan tindakan emosi yang boleh memakan diri sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
