Berselingkuh dengan rakan pejabat ibarat cinta 'Romeo and Juliet', hubungan terlarang, tapi sukar putus — Pakar psikologi


  • Cinta
  • Rabu, 30 Jul 2025

Kes kecurangan yang berlaku membabitkan rakan sekerja semakin berleluasa. — Gambar Hiasan

CINTA di tempat kerja bukan lagi hal luar biasa, malah semakin menjadi norma secara senyap dalam kebanyakan organisasi.

Perkara yang bermula sebagai sekadar kerjasama profesional, kadangkala bertukar menjadi hubungan emosi sukar dibendung.

Bagi sesetengah orang, ia menjadi jalan keluar dari tekanan rumah tangga.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Walau ego dia tetap pujuk', bukan kesempurnaan, tapi usaha saling jaga hati 'resipi' bahagia rumah tangga Uqasha, Kamal Adli

BACA LAGI: [VIDEO] 'Walau ego dia tetap pujuk', bukan kesempurnaan, tapi usaha saling jaga hati 'resipi' bahagia rumah tangga Uqasha, Kamal Adli

Skandal Cabot dengan CEO Astronomer yang kantoi pada konsert Coldplay antara situasi menunjukkan perselingkuhan dengan rakan sekerja itu berlaku. — Gambar hiasan

Bagi individu lain pula, ia hanyalah godaan bersifat sementara yang mengundang krisis.

Namun, sejauh mana hubungan sulit di tempat kerja boleh disorokkan?

Baru-baru ini, tular satu isu apabila kamera kiss cam pada konsert Coldplay secara tidak sengaja membongkar kisah cinta melibatkan dua individu berprofil tinggi yang bekerja di syarikat sama.

Pasangan sedang berpelukan mesra itu rupa-rupanya adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astronomer, Andy Byron dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Kristin Cabot, kedua-duanya dilaporkan sudah berkahwin dengan pasangan masing-masing.

Rakaman itu bukan sahaja mencetuskan perdebatan di atas talian, malah membuka semula perbincangan tentang sebab hubungan sulit di tempat kerja terus berlaku walaupun risiko terhadap kerjaya, keluarga dan reputasi amat tinggi.

Menurut pakar psikologi, faktor utama adalah masa banyak diluangkan bersama rakan sekerja.

Hubungan profesional yang rapat, tekanan kerja dan empati sesama rakan sepasukan sering kali menjadi pencetus kepada keterikatan emosi tanpa disedari.

“Kita menghabiskan lebih banyak masa dengan rakan sekerja berbanding keluarga.

"Dari situ, timbul rasa selesa dan kepercayaan kadangkala membawa kepada hubungan yang melangkaui batas profesional,” kata psikoterapis, Akua Boateng.

Hubungan pastinya tidak sama lagi apabila mengetahui kecurangan pasangan. — Gambar hiasan

Pensyarah psikologi dari California State University, Amerika Syarikat, Dr. Kelly Campbell pula berkata, suasana kerja yang toksik, sempadan yang kabur dan kurangnya pengawasan boleh menjadi pemangkin kepada hubungan terlarang.

“Malah, dalam sesetengah kes, tekanan dan cabaran kerja boleh menyebabkan dua individu membina ‘ikatan trauma’ yang akhirnya mencetuskan hubungan emosi dan seterusnya hubungan sulit,” katanya.

Dr. Campbell turut menyentuh tentang Romeo and Juliet effect iaitu situasi apabila dua individu berasakan hubungan mereka terlarang dan sukar, sekali gus menjadikan hubungan itu lebih mendebarkan dan sukar diputuskan.

Namun, hubungan seperti itu selalunya tidak berasaskan realiti.

Boateng menjelaskan, kebanyakannya bersifat escapism atau pelarian dari kehidupan sebenar.

“Anda hanya kenal sisi tertentu individu tersebut, bukan keseluruhan dirinya. Ia bukan hubungan sebenar, tapi satu bentuk pelarian daripada masalah sedia ada,” katanya.

Boleh pulih selepas curang?

Kaunselor pasangan, Terri DiMatteo tidak menolak kemungkinan sesetengah pasangan mampu bertahan selepas berlakunya kecurangan, namun menegaskan proses pemulihan adalah rumit dan memerlukan komitmen tinggi.

“Ada yang kekal bersama, tapi hubungan itu tidak lagi sama. Ia seperti hidup dengan luka yang tidak sembuh sepenuhnya,” katanya.

Situasi menjadi lebih sukar jika pasangan curang masih bekerja di tempat sama dengan individu yang terlibat.

Justeru, DiMatteo mencadangkan agar salah seorang menukar tempat kerja atau mengurangkan interaksi sepenuhnya.

Kes tular seperti di konsert Coldplay hanyalah satu daripada ratusan kisah yang berlaku di tempat kerja dan sering kali meninggalkan kesan mendalam kepada pasangan, anak-anak serta rakan sekerja.

“Ini bukan kesilapan, ini pilihan.

“Saya kongsi kisah ini supaya anak-anak saya tahu apa sebenarnya berlaku dan faham kesan daripada tindakan ayah mereka,” kata seorang wanita yang pernah melalui pengalaman sama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram