
SETIAP pelajar asrama pasti menyimpan cerita sendiri, sama ada manis atau pahit.
Berdasarkan perkongsian seorang pengguna Facebook, Em Feez Al-Juma, pengalaman itu bukan sekadar mendidik erti berdikari, malah turut meninggalkan kenangan sukar dilupakan.
Menurutnya yang melanjutkan pengajian di sekolah menengah asrama penuh lelaki sekitar 1993 hingga 1997, enam bulan pertama bergelar pelajar tingkatan satu merupakan detik paling sukar kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga.
“Saya selalu menangis sebab rindu mak, takut juga kena buli, walhal tak pun.
"Pernah saya menangis telefon mak sebab rindu, lepas itu warden nampak dan tunggu.
"Apabila ditanya sama ada dibuli, saya hanya menggeleng. Dalam hati saya cakap rindu mak. Takkan nak cerita pada warden,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa lalu.
Walaupun tidak pernah menjadi mangsa buli secara fizikal, akuinya, budaya ragging di asrama bukan sesuatu yang asing.
Ceritanya, beliau sering menyaksikan rakan-rakan dipanggil, disuruh kawad atau dikenakan pelbagai bentuk hukuman oleh senior.
“Saya pernah kena panggil tanpa sebab oleh senior, dia suruh kawad sambil nyanyi tengah malam.
"Malas nak layan, saya buat sahaja. Minggu depannya saya dengar dia pula kena ‘up’ dengan abang senior lain. Dalam hati (saya kata) padan muka,” ujarnya.
Tambahnya, strategi untuk bertahan di asrama adalah berkawan dengan semua orang tanpa memilih bulu.
"Selain itu, aku ada abang angkat setiap tingkatan. Lesen besar bila ada abang angkat, lebih-lebih lagi kalau dia pengawas.
"Bila saya senior saya pun jadi pengawas dan masih berkawan dengan semua orang,” katanya berseloroh.
Kini, lebih 30 tahun selepas meninggalkan alam persekolahan, beliau melihat kembali pengalaman itu sebagai satu proses pendewasaan.
Asrama telah membentuk dirinya untuk lebih kental, berdikari dan tidak mudah tunduk pada tekanan, sama ada di kampus mahupun dunia pekerjaan.
“Saya mula hidup sendiri sejak masuk asrama. Lepas tamat sekolah, sambung belajar di Kuala Lumpur dan cari duit sendiri.
"Semua itu hasil latihan hidup berdikari sejak remaja,” katanya.
Mengulas tentang kesesuaian menghantar anak ke asrama, beliau berpendapat, pelajar lebih sesuai memasuki sekolah berasrama penuh ketika di tingkatan empat.
“Janganlah hantar anak yang baru tingkatan satu duduk asrama,” jelasnya.
Walaupun sebahagian besar kenangan hitam seperti buli dan ragging sudah berlalu, beliau kini hanya mampu tersenyum apabila melihat semula kehidupan rakan-rakan serta senior di media sosial.
“Ramai dah jadi ayah, suami, malah ada yang bakal bergelar datuk. Saya hanya mampu senyum bila mengenang kisah lama,” tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram