Suasana pembelajaran kompetitif jadi punca pelajar T20 murung — Pakar psikologi


  • Bonda
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Ramai pelajar T20 mengadu ibu bapa meletakkan harapan terlalu tinggi, malah aktiviti riadah juga ditentukan oleh keluarga. — Gambar hiasan

TEKANAN ibu bapa dan suasana persekolahan yang terlalu kompetitif dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong remaja ke arah kemurungan.

Pakar psikiatri perunding, Datuk Dr. Andrew Mohanraj berkata, pelajar di kawasan bandar sering berdepan tekanan hebat akibat persaingan akademik, ditambah pula dengan kelas tambahan, tugasan berlebihan dan tuntutan kokurikulum.

Menurutnya, semua itu meninggalkan sedikit ruang untuk rehat atau masa santai, sekali gus meningkatkan tekanan psikologi.

BACA LAGI: 'Remaja zaman kini 'fragile', lemah tapi ada sebab'

BACA LAGI: Lebih 1,000 pelajar sekolah menengah di Selangor berisiko tinggi kemurungan — Exco Kesihatan Awam

“Keadaan bertambah buruk apabila sekolah dan keluarga mengambil pendekatan menghukum berikutan prestasi akademik yang lemah, sehingga mencetuskan kebimbangan serta gejala kemurungan.

"Gaya keibubapaan autoritarian yang kurang mesra dan tidak menyokong turut melemahkan daya tahan pelajar menghadapi tekanan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin bahawa 1,020 daripada 36,428 pelajar sekolah menengah di negeri itu menunjukkan tanda awal berisiko tinggi mengalami kemurungan.

Dr. Andrew berkata, pelajar di kawasan bandar sering berdepan tekanan hebat akibat persaingan akademik.

Menurut Jamaliah, dapatan tersebut adalah hasil Analisis Data Saringan Minda Sihat Murid Sesi 2024/2025 Negeri Selangor.

Mengulas lanjut, Dr. Andrew yang juga Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) berkata, budaya masyarakat Malaysia sangat menitikberatkan kejayaan akademik sebagai lambang maruah keluarga.

“Ramai pelajar takut mengecewakan ibu bapa atau dianggap gagal,” ujarnya.

Pelajar T20 lebih tertekan

Sementara itu, seorang kaunselor sekolah di Selangor turut mendedahkan, kira-kira 80 peratus pelajar yang dikenal pasti berada di ambang kemurungan datang daripada keluarga berpendapatan tinggi (T20).

Sebaliknya jelas beliau, hanya 20 peratus daripada kelompok berisiko itu datang daripada keluarga bawah 40 (B40) atau yang berpecah-belah. 

"Pelajar B40 dengan latar keluarga stabil dilihat lebih bahagia.

"Bagaimanapun ramai pelajar T20 mengadu ibu bapa meletakkan harapan terlalu tinggi, malah aktiviti riadah juga ditentukan oleh keluarga.

“Pelajar ini berasa tiada pilihan dalam hidup mereka termasuk aktiviti santai,” katanya.

Tanda awal 

Dalam pada itu, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Dr. Rahima Dahlan menegaskan bahawa ibu bapa, guru dan rakan sebaya memainkan peranan penting dalam mengesan kemurungan lebih awal.

"Jika seorang remaja nampak murung atau ‘lain macam’ lebih dua minggu, terutama apabila pembelajaran, tingkah laku di rumah atau dengan kawan-kawan pun terjejas, sudah tiba masanya untuk berbincang dan mendapatkan bantuan profesional,” ujar beliau.

Beliau menambah, semakin awal kemurungan dikenal pasti, semakin baik peluang rawatan dan pemulihan dengan sokongan yang betul.

“Langkah pertama ialah mewujudkan persekitaran selamat di mana remaja boleh meluahkan perasaan tanpa dihakimi. Mendengar dengan empati adalah sangat berkesan,” katanya.

Dr. Rahima turut menekankan kepentingan latihan kepada guru untuk mengenali tanda-tanda amaran, manakala kaunselor sekolah pula perlu mudah diakses.

Namun menurut Dr. Andrew pula, kekangan sumber manusia juga menjadi isu utama apabila seorang kaunselor perlu mengendalikan ratusan pelajar.

“Mereka sering dibebani tugas disiplin berbanding menumpukan kepada kaunseling kesihatan mental.

“Guru sepatutnya turut diberikan latihan asas psikologi agar sokongan mental tidak hanya bergantung pada kaunselor,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram