
PEMPENGARUH media sosial yang juga kakak kepada pelakon terkenal, Anzalna Nasir, Diana mendedahkan beliau amat menitikberatkan pemakanan anak-anaknya sejak kecil dengan mengelakkan snek bergula.
Menurut Diana dalam satu hantaran di Instagram miliknya, prinsip itu diamalkan sejak hari pertama bergelar ibu, malah beliau memastikan tiada makanan tidak berkhasiat disimpan di rumah bagi membentuk tabiat makan sihat.
“Sejak awal lagi, saya berhati-hati dengan apa yang masuk ke dalam ruang simpanan makanan kami. Tiada makanan ringan, tiada snek manis.
"Anak-anak saya membesar dengan pemikiran itu dan sehingga kini mereka tidak begitu menggemari makanan manis,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.
BACA LAGI: Calon menantu perlu jawab 30 soalan fardu ain, tunjuk rekod CCRIS sebelum masuk meminang
Perkongsian itu turut disertakan dengan video beliau menyediakan snek berasaskan coklat dan strawberi.
Diana berkata, beliau percaya bahawa tabiat yang dibentuk pada awal kehidupan akan memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan gaya hidup seseorang.
Justeru, pendekatan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada fizikal anak-anaknya, malah turut mempengaruhi pemikiran mereka terhadap pemakanan.
Beliau bagaimanapun mengakui keinginan untuk menikmati makanan bergula sesekali adalah perkara biasa.
Namun, anak-anaknya sudah dididik untuk memahami had pengambilan gula yang selamat.
“Tidak dinafikan, sekali-sekala memang teringin juga benda manis, tetapi mereka tahu batas. Kalau makan pun sedikit sahaja, sekadar untuk merasa,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa matlamat utamanya adalah membina asas tabiat pemakanan yang sihat sejak awal, mengawal berat badan anak-anak, mengelakkan masalah obesiti kanak-kanak dan paling penting, mengajar konsep keseimbangan.
“Apabila anak-anak sihat, kita sebagai ibu bapa pun tenang hati. Bagi saya, sedikit treat sekali-sekala sudah memadai. Yang penting, kebanyakan masa mereka makan makanan yang baik untuk tubuh,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram