
WANITA hamil yang hampir bersalin di tepi jalan berjaya diselamatkan selepas terkandas akibat tanah runtuh di Jalan Ranau-Tambunan, Kampung Pahu, Tambunan, Sabah pada Rabu.
Tanah runtuh yang berlaku sekitar pukul 7:26 pagi itu menyebabkan jalan utama terputus sehingga menghalang laluan ambulans dan kenderaan kecemasan untuk sampai ke lokasi berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS), Dr. Maria Suleiman dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa pasukan perubatan dari Klinik Desa Tontolob segera bertindak untuk melakukan penilaian awal dan menstabilkan keadaan pesakit.
BACA LAGI: Hampir 14,000 remaja hilang sejak 2014, Selangor, Johor dan Kedah rekod kes tertinggi
Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu berada dalam fasa aktif kelahiran dan memerlukan pemindahan segera ke hospital.
Disebabkan laluan utama terhalang, pasukan penyelamat dari Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Daerah Tambunan bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung bekerjasama untuk mencari laluan alternatif.
Dengan bantuan orang ramai, pesakit berjaya dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
Setibanya di Hospital Keningau, wanita itu segera dimasukkan ke dewan bedah dan menjalani pembedahan kecemasan (Emergency Lower Segment Caesarean Section - EMLSCS) kerana tanda-tanda bayi lemas dalam kandungan.
Syukur, kedua-dua ibu dan bayi berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram