
DALAM hujan renyai, perut sarat mengandung dan hanya menaiki motosikal bersama suami, seorang ibu muda berdepan pengalaman yang tidak akan dilupakan apabila terpaksa melahirkan bayi di tepi Lebuh Raya Pasir Gudang, Johor.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan oleh pengguna Facebook, Faizuka Fuizu yang memuji kekuatan dan ketabahan wanita tersebut apabila bersalin di tepi jalan ekoran tidak mampu lagi menahan kesakitan kontraksi.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut ditikam depan ayah sendiri di Senawang, suspek direman hingga Isnin
BACA LAGI: Gerakan Mahasiswa buat tuntutan terhadap KPM, KDN dan PDRM elak kes buli berulang
"Kuatnya seorang ibu. Hujan renyai, sarat mengandung, hanya bermotosikal bersama suami.
"Berhenti tepi highway (lebuh raya) kerana tak mampu menahan sakit. Di situlah, bayi itu lahir. Mungkin inilah antara kenangan terindah mereka bila anak itu sudah besar nanti.
"Tidak semua bernasib baik. Tidak semua ibu menyambut zuriat di tempat yang selesa.
"Tapi kasih dan ketabahan seorang ibu, tiada tandingan," kata pengguna akaun Faecbook tersebut.
Tangkap layar hantaran dari Faizuka Fuizu.
Selain itu, video kejadian yang kini tular di platform TikTok memaparkan momen berharga berkenaan dengan ibu muda dari Sabah tersebut dibantu oleh empat wanita yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Berdasarkan video berdurasi 17 saat dimuat naik pengguna Tiktok, Umisyarifah menyaksikan tiga daripadanya merupakan wanita Melayu dan seorang wanita India yang pantas bertindak membantu walaupun tanpa persiapan awal.
Kesemua wanita berkenaan kelihatan bekerjasama menenangkan ibu tersebut dan membantu proses kelahiran dengan penuh berhati-hati, ia jelas memperlihatkan nilai kemanusiaan yang tinggi apabila perbezaan latar belakang diketepikan demi memastikan ibu dan bayi selamat.
"Saya bersama akak India dan yang lain menyambut kelahiran seorang bayi di bahu tepi jalan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang dalam keadaan berhujan. Terima kasih semua orang, semua memang hebat. Bagi tuala, baju, tudung semua," kongsinya.
Kejadian itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada warganet, yang rata-ratanya terharu dan kagum dengan kekuatan fizikal serta mental si ibu, selain menyanjung semangat gotong-royong masyarakat yang hadir membantu di saat genting. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram