Boleh ke bersalin normal lepas caesarean? Pro, kontra kelahiran VBAC ibu hamil perlu tahu


  • Bonda
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Wanita pernah melalui pembedahan caesarean masih berpeluang untuk melahirkan bayi secara normal. — Gambar hiasan/Freepik

DALAM dunia perubatan moden, pelbagai kaedah kelahiran ditawarkan kepada ibu hamil, sama ada melalui proses normal, bantuan perubatan seperti vakum dan forsep, mahupun pembedahan caesarean (C-sec).

Setiap pilihan mempunyai tujuan yang sama iaitu memastikan keselamatan ibu serta bayi, bergantung kepada keadaan kesihatan dan keperluan semasa bersalin.

Namun, bagi wanita yang pernah melalui pembedahan caesarean, timbul pula persoalan sama ada mereka masih berpeluang untuk bersalin secara normal pada kehamilan seterusnya.

BACA LAGI: Terkejut keadaan anak saudara usia 2 tahun lebam, berbirat, pengasuh dikatakan sorok 10 jam sebelum hantar pulang ke rumah

BACA LAGI: [VIDEO] Konten uji kenal sayur dikritik, umpama 'buli' wanita secara halus tak mahir memasak

Kaedah itu dikenali sebagai Vaginal Birth After Caesarean (VBAC) dan kini menjadi antara pilihan yang semakin dipertimbangkan oleh ibu hamil.

Kelebihan VBAC berbanding C-sec kali kedua

Kajian antarabangsa melaporkan bahawa VBAC memberi beberapa kelebihan ketara berbanding pembedahan caesarean berulang, antaranya:

- Mengelakkan pembedahan pada perut dan risiko komplikasi kesihatan.

- Risiko jangkitan serta kehilangan darah yang lebih rendah.

- Bayi kurang berisiko menghadapi masalah pernafasan selepas lahir.

- Pemulihan ibu lebih cepat dan boleh kembali kepada rutin harian lebih awal.

- Mengurangkan risiko komplikasi berkaitan dengan caesarean berulang seperti plasenta akreta (plasenta melekat terlalu dalam pada rahim) dan pembentukan tisu parut.

Risiko VBAC

Tidak dinafikan VBAC secara umumnya lebih selamat berbanding pembedahan caesarean kali kedua, namun, sebarang kegagalan boleh meningkatkan risiko serius kepada ibu dan bayi antaranya:

- Pendarahan serius.

- Pecah rahim: Berlaku kurang daripada satu peratus kes, tetapi boleh mengancam nyawa.

- Dalam kes tertentu, ibu mungkin memerlukan histerektomi (pembuangan rahim), sekali gus menghalang peluang untuk hamil lagi.

Tip persiapan kaedah VBAC.

Pakar Obstetrik dan Ginekologidan Dr. Maiza Tusimin menerusi perkongsian di laman Threads berkongsi senarai semak boleh dijadikan panduan ibu yang ingin mencuba kaedah VBAC:

1. Sejarah C-sec

- Jenis luka rahim: low transverse.

- Hanya pernah menjalani C-sec sekali sahaja sebelum ini.

- Tiada sejarah rahim pecah atau pembedahan besar pada rahim.

2. Kehamilan semasa

- Bayi tunggal dan posisi kepala ke bawah.

- Berat bayi kurang daripada 4kg.

- Uri dan air ketuban di paras normal.

- Tiada komplikasi serius.

3. Hospital dan doktor

- Hospital mempunyai fasiliti kelahiran kecemasan C-sec.

- Doktor berpengalaman dalam kaedah VBAC.

4. Semasa proses bersalin

- Tunggu kontraksi semula jadi.

- Suntikan induksi hanya jika perlu.

- Pemantauan rapi degupan jantung bayi dan tanda pecah rahim.

Kesimpulannya, VBAC boleh menjadi pilihan selamat dan bermanfaat bagi sesetengah ibu yang ingin merasai pengalaman bersalin normal selepas pembedahan caesarean.

Namun, ia memerlukan penilaian rapi daripada pakar, pemantauan ketat, dan persediaan mental serta fizikal yang mencukupi.

Ibu yang berhasrat mencuba VBAC disarankan berbincang lebih awal dengan doktor pakar sakit puan bagi memahami risiko, peluang kejayaan, serta memilih hospital dengan fasiliti lengkap bagi menangani sebarang kecemasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram