
BAGI Nurzahureen Ruhanie, roti jala bukan sekadar juadah tradisi. Ia adalah 'kanvas' kreatif yang membawa mesej tentang keindahan makanan sihat dan semula jadi.
Berbekalkan pewarna asli daripada bunga, sayuran dan ubi, usahawan berusia 46 tahun itu berjaya mengangkat roti jala ke tahap baharu, menjadi sajian eksklusif diminati pelbagai lapisan masyarakat, khususnya yang mementingkan kesihatan.
Perjalanan Nurzahureen bermula pada Julai 2022, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan pendapatan keluarga selepas suaminya, Muhammad Noor Hakim Md Romainoor, 47, kehilangan pekerjaan.
Melihat anak-anak yang menggemari roti jala, terlintas di fikiran ibu kepada empat cahaya mata itu untuk menjual juadah tersebut.
Tanpa disangka, idea menghasilkan roti jala berwarna semula jadi daripada jiran berbangsa Cina mendapat sambutan hangat daripada pelanggan, termasuk masyarakat bukan Melayu yang tertarik dengan estetika dan manfaatnya.
Sebelum bergelar usahawan, beliau bekerja sebagai akauntan dalam industri korporat, bermula sekitar 2003 hingga 2013.
Namun, demi memberi tumpuan pada keluarga dan mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan, wanita asal Kuala Lumpur tersebut membuat keputusan berhenti dan mula meneroka bidang multi-level marketing (MLM) sebelum memulakan bisnes roti jala.
“Saya berhenti kerja selepas anak kedua lahir sekitar 2013 disebabkan suasana kerja yang sibuk dan langsung tidak ada ruang untuk bersama keluarga.
"Bayangkan beberapa hari lepas bersalin pun bos minta buat kerja. Setiap hari saya menangis depan suami,” kongsinya.
Nurzahureen memulakan bisnes roti jala pada 2022. — Nurzahureen Ruhanie
Selain mahukan kebebasan mengurus masa sendiri, keputusan beralih bidang juga dibuat kerana minat mendalam Nurzahureen terhadap seni kraf.
Akui pengasas Sedap Pretty Jala itu lagi, menghasilkan helaian roti jala berwarna-warni mengikut reka bentuk kreatif, memang kena dengan jiwanya.
Mengulas proses penghasilan, beliau berkata, semua warna 100 peratus dihasilkan menggunakan bahan semula jadi dalam bentuk serbuk.
Antara pewarna yang digunakan termasuk serbuk pandan untuk hijau, bunga telang untuk biru, keledek ungu untuk warna ungu, manakala kuning dihasilkan daripada kunyit.
Bagi warna merah pula, anak kedua daripada tiga beradik tersebut memilih ubi bit merah atau beras yis merah.
“Kebanyakan penjual roti jala guna pewarna kuning tiruan kerana katanya kunyit tak memberi warna yang cantik.
"Namun saya tetap guna kunyit kerana mahu hasil yang asli walaupun warna lebih lembut,” ujarnya yang menyertai kursus keusahawanan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) pada 2023.
Antara dekorasi roti jala menarik yang dihasilkan Nurzahureen. — Nurzahureen Ruhanie
Menariknya, warna-warna itu hadir tanpa mengubah rasa asal roti jala, malah memberi sentuhan eksklusif pada setiap tempahan.
“Malah pelanggan akan dapat manfaat seperti antioksidan daripada bunga telang dan pandan atau beras yis merah.
"Jadi selain cantik, roti jala ini juga lebih sihat,” jelasnya menambah harga roti jala bermula dari RM80 dan boleh mencecah ratusan ringgit bergantung pada saiz serta rekaan.
Ilmu akauntan
Dengan latar belakang sebagai akauntan, Nurzahureen menggunakan kepakarannya dalam pengiraan kos untuk menetapkan harga roti jala yang dihasilkan, meskipun ada pihak menganggapnya mahal.
Katanya, ramai penjual lain meletakkan harga secara sembarangan dengan tanggapan roti jala hanya berasaskan tepung dan tidak wajar dijual pada harga tinggi.
“Saya kira semua aspek termasuk kos masa, bahan, tenaga dan kreativiti.
"Memang lepas letak harga, ada yang kata mahal tapi Alhamdulillah, ia kena dengan pasaran sasaran saya,” katanya yang pernah menyambung pengajian di The Chartered Institute of Management Accountant (CIMA), London, United Kingdom (UK).
Nurzahureen nekad berhenti kerja bagi memberi sepenuh tumpuan buat keluarganya. — Nurzahureen Ruhanie
Kongsinya lagi, antara tempahan unik yang pernah diterima ialah roti jala berbentuk kek dua tingkat untuk majlis perkahwinan, yang dijual pada harga lebih RM500.
“Walaupun ia roti jala, prosesnya kompleks. Bentuk kelopak, rekaan kreatif dan ketelitian memerlukan masa serta tenaga yang banyak,” ceritanya yang menyiapkan semua tempahan seorang diri di rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.
Jualan cecah lima angka
Perniagaan roti jala kreatif yang diusahakan bekas akauntan itu mampu meraih antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan, bergantung pada musim.
Menurutnya, musim perayaan seperti Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Krismas biasanya menyaksikan peningkatan jualan, malah kutipan melebihi RM10,000 sebulan bukan sesuatu yang mustahil.
Walaupun perniagaannya stabil, beliau mengakui berdepan cabaran, khususnya berhubung kepuasan pelanggan.
Nurzahureen menyiapkan semua tempahan seorang diri di rumahnya di Cheras. — Nurzahureen Ruhanie
Antara isu yang kerap timbul ialah warna roti jala yang dihasilkan tidak sama seperti gambar rujukan.
“Roti jala saya dibuat sepenuhnya dengan tangan, bukan mesin. Warnanya pula daripada pewarna semula jadi, jadi setiap hasil tidak akan sama 100 peratus.
"Ada masa warnanya lebih terang, ada masa lebih lembut bergantung pada bahan digunakan,” jelasnya.
Walau begitu, beliau menegaskan jumlah pelanggan yang berpuas hati jauh lebih ramai berbanding yang membuat aduan.
“Yang puji lebih banyak daripada yang marah. Jadi saya ambil hal positif dan teruskan usaha,” katanya yang turut menerima tempahan dari warga Indonesia dan Singapura. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram