Serene Williams berjaya turun berat badan lebih 14kg, ambil suntikan GLP-1, kembali bertenaga


  • Maya
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Serena Williams kembali sihat selepas berjaya menurunkan berat badan melalui suntikan GLP-1.

SELEPAS bertahun-tahun berdepan cabaran menurunkan berat badan usai bersalin anak kedua, ikon tenis dunia Serena Williams, 43, akhirnya berkongsi rahsia yang membantunya kembali bertenaga dan yakin dengan diri sendiri.

Juara Grand Slam 23 kali itu mendedahkan beliau menjalani rawatan GLP-1, sejenis suntikan menurunkan berat badan pada asalnya direka untuk pesakit diabetes.

Melalui rawatan tersebut, Williams berjaya menurunkan lebih 31 paun (14 kilogram) dan kini berasa lebih sihat, tubuh badan bertambah ringan serta stabil dari segi fizikal dan mental.

BACA LAGI: Sibuk 24 jam dengan kerjaya, 5 teknologi 'life saver' bantu ibu bapa urus anak-anak

BACA LAGI: Letak syarat 'tebuk' surah Al Baqarah, Dr Asyraf tunai janji beri telefon pintar baharu buat anak perempuan

"Saya berasa hebat, badan saya terasa ringan, begitu juga dengan minda saya," katanya dalam temu bual bersama media antarabangsa.

Serena Williams merupakan atlet tenis profesional dari Amerika Syarikat.

 

Cabaran lepas bersalin

Williams mula merasai kesukaran menguruskan berat badan selepas melahirkan anak sulungnya, Alexis Olympia pada 2017, diikuti kelahiran anak kedua, Adira (2023).

Walaupun disiplin gaya hidup sihat sebagai seorang atlet sudah sebati dalam dirinya, Williams mengakui kecewa apabila usahanya di gimnasium dan diet sihat dilakukan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Saya tidak pernah berada dalam situasi di mana saya bekerja keras, makan dengan baik, tetapi angka pada penimbang tetap tidak berubah, ia sangat mengecewakan," katanya.

 

Apa itu GLP-1

GLP-1 atau Glucagon-Like Peptide-1 adalah sejenis hormon sintetik yang meniru fungsi semula jadi badan untuk mengawal gula dalam darah dan selera makan. 

Berfungsi melambatkan proses pencernaan serta memberi isyarat kenyang kepada otak, ubat itu membantu mengurangkan rasa lapar dan seterusnya menyokong penurunan berat badan.

Antara jenama popular termasuklah Ozempic dan Wegovy (Novo Nordisk) serta Mounjaro dan Zepbound (Eli Lilly).

Namun, pengambilan GLP-1 juga hadir dengan beberapa risiko dan kesan sampingan seperti loya, muntah, cirit-birit, sembelit dan dehidrasi.

Isu serius boleh berlaku termasuklah keradangan pankreas, masalah pundi hempedu, kecederaan buah pinggang, kehilangan tisu otot serta hipoglisemia terutamanya jika dimakan dengan ubat lain.

Pakar menegaskan rawatan tersebut hanya selamat digunakan di bawah pengawasan doktor dan tidak sesuai untuk semua individu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram