
SEORANG wanita membuktikan bahawa sebuah rumah idaman mampu dimiliki walaupun dengan kos rendah dan saiz kediaman yang kecil.
Bermula dengan bajet sekitar RM85,000, ibu kepada seorang cahaya mata itu berjaya menepis stigma segelintir masyarakat yang memandang rendah rumah bersaiz kecil, apatah lagi mereka yang melabel ia bukan 'rumah sebenar'.
Berkeluasan hanya sekitar 550 kaki persegi, rumah konsep tiny house itu mengetengahkan elemen minimalis pada setiap ruangan dalaman dilengkapi pelbagai kemudahan menjadikannya kelihatan mewah seperti unit kondominium moden.
BACA LAGI: Dulu pelajar, kini kembali sebagai pengetua wanita pertama di SMK St. Xavier dalam tempoh 172 tahun
Malah, pemilihan warna cerah pada setiap ruangan nyata memberikan kesan dan suasana kondusif pada sesiapa sahaja yang memasuki kediaman tersebut.
Jelasnya, beberapa sudut rumah ditambah baik dari semasa ke semasa selepas beberapa tahun menabung bagi merealisasikan seni bina idaman.
Ruang anjung kereta dan dobi antara yang baru diubah suai yang menurutnya satu kepuasan selepas sekian lama mengimpikan ruangan sedemikian walaupun rumahnya bersaiz kecil.
"Dulu masa mula-mula nak bina rumah, orang asyik tanya saiz rumah berapa? Modal berapa? Masa itu malu dan segan sangat sebab kami mampu yang kecil.
"Orang kata untuk dipanggil 'rumah sebenar' macam tak layak sebab terlalu kecil, sampai hati.
"Tapi tak apa, saya bangga dengan kemampuan poket saya, akhirnya kami ada tempat berteduh sendiri dan rumah inilah bermulanya sumber rezeki baharu ku," kongsinya di laman Threads.
Pemilihan perabot dan kelengkapan minimalis menjadikan kediamannya serba moden.
Walaupun bersaiz kecil, pemilik memilih untuk menitikberatkan kualiti perabot dan susun atur ruang bagi memastikan setiap sudut digunakan sepenuhnya.
Ruang dapur misalnya, kelihatan cukup luas dengan pemilihan meja makan bersesuaian serta hiasan dinding yang tidak terlampau penuh dan serabut.
Dengan jumlah kos rendah, kediaman itu dianggap berbaloi memandangkan ia siap dengan kelengkapan asas dan hiasan dalaman serba moden sesuai dengan trend terkini.
Malah, konsep berkenaan semakin menjadi pilihan dalam kalangan generasi muda yang lebih gemar berjimat dalam masa sama memilih gaya hidup ringkas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram