
ANAK muda tempatan terus membuktikan keupayaan mereka di pentas antarabangsa apabila berjaya membawa pulang pingat emas dan perak di International RobotChallenge World Championship 2025 pada Ahad lalu.
Pasukan pelajar diterajui World of Robotics Sdn Bhd itu menewaskan peserta dari lebih 40 negara lain bagi kategori Puck Collector Junior pada kejohanan yang berlangsung 15 hingga 17 Ogos di Gymnasium of Beijing Science and Technology University, China.
Kejayaan tersebut menandakan peningkatan besar berbanding penyertaan sebelum ini, apabila Malaysia hanya mampu meraih satu perak dan satu gangsa pada edisi terdahulu.
BACA LAGI: Sibuk 24 jam dengan kerjaya, 5 teknologi 'life saver' bantu ibu bapa urus anak-anak
Namun, 2025 menjadi medan kebangkitan apabila mana pasukan negara membuktikan bahawa mereka mampu bersaing setanding dengan kuasa besar dunia dalam bidang robotik.
Latihan intensif sejak Mei
Sejak Mei 2025, para pelajar menjalani latihan intensif di bawah kendalian World of Robotics Sdn Bhd.
Program tersebut bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal, malah menekankan aspek disiplin, kerja berpasukan dan daya ketahanan.
"Pencapaian ini adalah hasil kesungguhan para pelajar, dedikasi jurulatih serta pengorbanan ibu bapa yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi kejayaan anak-anak mereka," menurut kenyataan pasukan itu.
Pasukan Malaysia dinobatkan sebagai pemenang pingat emas dan perak pada kejohanan International RobotChallenge World Championship 2025.
Pengasas dan Pengarah Urusan World of Robotics Sdn. Bhd.,, Lee Yew Kein berkata, pencapaian bersejarah itu membuktikan potensi besar anak muda Malaysia dalam bidang teknologi masa depan.
"Pelajar kita telah membuktikan bahawa dengan bimbingan yang tepat, usaha gigih dan semangat juang yang tinggi, negara mampu mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa," katanya.
Visi: Hub robotik Asia
Dalam pada itu, Yew Kein turut menegaskan bahawa kejayaan dikecapi hanyalah permulaan kepada misi lebih besar untuk menjadikan Malaysia sebagai hub bakat robotik di Asia.
"Visi kami adalah melahirkan lebih ramai pelajar Malaysia dengan pendidikan robotik bertaraf dunia.
"Kami mahu mereka bukan sekadar bersaing, tetapi juga memimpin dan mencipta penyelesaian kepada cabaran global," ujarnya.
Malah, pihaknya turut memasang impian untuk terus memperkasa pendidikan robotik di Malaysia dengan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar menyertai pertandingan antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram