
PERSATUAN Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) memberi amaran bahawa trend autisme dalam kalangan dewasa di Malaysia kian meningkat.
Hal itu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan kerjaya golongan berkenaan jika tidak menerima intervensi dari awal.
Presidennya Mohd Nazrul Mohd Amin menjelaskan, ramai individu autistik hanya dikesan selepas memasuki alam pekerjaan, menyebabkan mereka berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang penuh tekanan dan berisiko dibuang kerja akibat salah faham majikan.
BACA LAGI: Sibuk 24 jam dengan kerjaya, 5 teknologi 'life saver' bantu ibu bapa urus anak-anak
Mohd Nazrul tegas menyatakan kepentingan intervensi awal autistik dalam kalangan dewasa.
"Statistik trend autisme dewasa ni makin meningkat kebelakangan ni dan sebaiknya ia perlu dititikberatkan untuk kita sama-sama membantu golongan terkesan dengan langkah terapi bersesuaian.
"Sama seperti kanak-kanak, mereka juga mengalami simptom seperti tantrum, sukar menerima arahan dan isu komunikasi tidak jelas yang sebenarnya boleh mengundang isu di pejabat kerana kebanyakannya sudah berkerjaya.
"Jadi kalau didiagnosis awal, sekurang-kurangnya mereka boleh mengenal pasti kekurangan dan kelemahan diri untuk pergi ke sesi terapi dan sebagainya, kalau dibiarkan boleh memberi kesan kepada keharmonian keluarga dan kehidupan," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan seorang abang kepada remaja autistik tersebut turut menyatakan beberapa simptom dan petanda jelas bagi mengenal pasti autistik dalam kalangan dewasa.
Ujarnya, kebanyakan mereka lebih gemar menggunakan bahasa yang tersusun dan sukar memahami arahan dalam bentuk kiasan.
"Kita boleh kenal melalui komunikasi, mereka yang autistik ni biasanya guna ayat sebutir-sebutir yang formal, contohnya 'saya nak makan ayam goreng', beza dengan percakapan individu normal yang lebih santai dan bersahaja.
"Mungkin akan kelihatan biasa sebab mereka dah dewasa, tapi sebenarnya itu tak normal dan boleh timbulkan kemarahan kalau dia tak diiktiraf sebagai autisme," jelasnya.
Tegas menyatakan kepentingan setiap individu autistik segera mendaftar sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), perkara itu menurutnya mampu membantu kerajaan dalam mengenal pasti polisi terbaik buat golongan terkesan.
Contoh kad OKU bagi golongan dewasa yang didiagnosis autisme. — Facebook/Sha Ramson
"Jangan malu atau menafikan sekiranya anda ada ciri ataupun masalah autistik, lebih baik dapatkan pengesahan dan daftar kad OKU sekiranya disahkan autisme.
"Data dan statistik ini sangat penting dalam menyumbang kepada kajian dan dapatan kerajaan, kalau tak pihak atasan tak akan sedar betapa pentingnya isu ini dalam kalangan dewasa, walhal ramai terkesan," tambahnya.
Dengan peningkatan kes autisme dewasa yang kini semakin ketara, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan intervensi awal perlu dipertingkatkan dan pemeriksaan boleh dilakukan menerusi ujian di laman https://narc.uitm.edu.my/raads-r-2/.
Sokongan dan peluang seharusnya diberikan tanpa alasan kerana golongan autistik bukan sahaja mampu berdikari, malah berpotensi menjadi aset penting dalam pembangunan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram