
WALAUPUN diuji dengan isu kesihatan saraf yang membataskan pergerakan, pasangan suami isteri Mohd Nazri Mohd Zin dan Norazlina Zakaria tetap cekal mencari rezeki.
Setiap minggu, kedua-duanya tampil gigih menjual minyak wangi di laman sosial dan usaha itu bukan sekadar sumber pendapatan, malah menjadi bukti bahawa keterbatasan fizikal tidak menghalang mereka untuk berdikari.
Baru-baru ini, kisah pasangan istimewa itu kembali meraih perkongsian ramai dan rata-ratanya memberikan sokongan serta dorongan penuh terhadap perniagaan dijalankan.
Paling menyentuh hati, wanita terbabit dilihat tetap bersemangat mencari rezeki walaupun terpaksa menguruskan kesihatan diri dan suami, dalam masa sama turut menderita kecederaan saraf tunjang.
Detik awal perkenalan
Pasangan itu mula berkenalan selepas Norazlina menziarahi Mohd Nazri yang terlantar akibat terjatuh dari bangunan semasa bekerja memasang pendingin hawa pada 2014.
Norazlina yang terlebih dahulu pernah terbabit insiden kemalangan pada 2007, kemudiannya menubuhkan kumpulan sokongan pesakit saraf tunjang, Support Group Rehab di Sungai Buloh, Selangor bagi membantu individu senasib dengannya.
Melihatkan keadaan Mohd Nazri yang memerlukan penjagaan khusus, hatinya tersentuh lalu nekad melamar dengan niat mahu menjaga lelaki itu secara halal.
Awalnya, lamaran itu ditolak lelaki berkenaan kerana merasakan dirinya tidak mampu menyara keluarga, apatah lagi menjaga seorang isteri.
Namun, keikhlasan Norazlina akhirnya berjaya melembutkan hatinya dan kedua-duanya disatukan sebagai pasangan suami isteri yang kini sudah lebih lapan tahun melayari bahtera perkahwinan.
Sepanjang tempoh itu, Norazlina banyak membantu suami menjalani fisioterapi sehingga mampu berdiri, memegang objek dan menggerakkan kerusi roda sendiri.
Malah, pasangan tersebut juga berperanan aktif dalam masyarakat apabila sama-sama mengurus rumah penjagaan orang kelainan upaya (OKU), selain terus menjadi inspirasi dengan sikap positif dan semangat juang tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram