
DALAM dunia yang serba moden dan canggih kini, telefon pintar menjadi keutamaan dan keperluan setiap masyarakat sama ada remaja mahupun dewasa.
Namun, lain pula ceritanya bagi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang cukup tegas dan berdisiplin dalam soal pemberian peranti itu kepada anak-anaknya.
Tidak sewenang-wenangnya menyediakan kelengkapan telefon pintar tanpa sebarang tetapan syarat, bapa kepada enam cahaya mata itu lebih mengutamakan pendidikan dan ilmu agama melebihi segala-galanya.
BACA LAGI: 'Aku tak mahu mimpi ini berakhir', arwah abang Uyaina muncul berbaju Melayu putih imamkan solat
Perkongsiannya di laman Instagram baru-baru ini meraih pujian ramai ekoran cara didikan dan nilai keagamaan diterapkan dalam diri anaknya.
Segalanya bermula bila mana anak perempuannya, Affaf meminta sebuah telefon pintar baharu selepas peranti milikinya difahamkan rosak baru-baru ini.
Namun, permintaan itu diiringi dengan syarat agar bacaan hafazan Al Qurannya perlu disemak terlebih dahulu sebelum dihadiahkan telefon yang baharu.
Memberikan tempoh seminggu untuk anaknya mengkaji dan menghafaz surah Al Baqarah, Dr Asyraf menunaikan janjinya usai Affaf berjaya menghafaz bacaan tersebut dengan penuh yakin.
"Macam mana perasaan seminggu tak ada handphone?
"Tak apa, yang penting Abi tunaikan janji, selesai Abi tasmi (semak) hafazan Affaf surah Al-Baqarah, Abi terus beli. Nah handphone baharu.
"Happy sangatlah puteriku Affaf sampai minta nak peluk beberapa kali," ujarnya.
Biarpun tegas dalam soal didikan anak-anak, Dr Asyraf sentiasa berpegang teguh kepada janjinya yang sekali gus menjadi antara sifat terpuji dimiliki sebagai seorang bapa.
Tidak terhenti di situ, beliau kemudiannya turut menambah beberapa lagi syarat dan permintaan agar anaknya menghafaz surah lain selain daripada Al Baqarah.
Sekadar mengusik dan senda gurauan, Affan diminta untuk mengkaji surah Ali Imran usai waktu solat Subuh keesokan harinya.
"Okay, lepas ni terus murajaah (ulangkaji) hafazan lepas Subuh esok Abi nak mula tasmi Surah Ali Imran pula ya.
"Tersipu-sipu Affaf antara rela dan dipaksa, itu namanya rela paksa," ujarnya.
Terdahulu, beliau dalam perkongsian berasingan menjelaskan anak-anaknya sudah terbiasa dibesarkan dengan ajaran Islam dan Al Quran sebagai panduan dalam segala perkara.
Malah, setiap kemahuan dan kehendak perlu didahului dengan amalan menghafaz surah Al Quran sebelum sesuatu pemberian itu diberikan.
"Dari kecil lagi anak-anak kalau nak sesuatu kena hafal dulu surah-surah Al Quran, alhamdulillah, Affaf antara anak yang berjaya hafaz 30 juzuk Al Quran waktu di Sekolah Menengah lagi.
"Cuma, saya selalu peringatkan untuk dia sentiasa murajaah (mengulangkaji) hafazannya dari semasa ke semasa walaupun sibuk dengan kuliah.
"Moga-moga keberkatan Al Quran menjadi pemelihara dan pendinding kepada anak-anak kita dalam mengharungi zaman yang amat mencabar masa kini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram