Dulu pelajar, kini kembali sebagai pengetua wanita pertama di SMK St. Xavier dalam tempoh 172 tahun


  • Sukses
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Janestanstein merupakan pengetua wanita pertama di SMK St. Xavier, Pulau Pinang.

SEJARAH tercipta di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Xavier, Pulau Pinang apabila Janestanstein Stephen, 55, dilantik sebagai pengetua wanita pertama dalam tempoh 172 tahun penubuhan sekolah tersebut.

Lebih istimewa, pelantikan itu membawa Janestanstein kembali ke sekolah lamanya selepas pernah bergelar pelajar di situ selama dua tahun pada 1989.

BACA LAGI: [VIDEO] Bakat muda Malaysia raih emas, perak pertandingan robotik di Beijing, tewaskan peserta dari lebih 40 negara

BACA LAGI: Sibuk 24 jam dengan kerjaya, 5 teknologi 'life saver' bantu ibu bapa urus anak-anak

"Saya tidak pernah membayangkan suatu hari nanti akan kembali menerajui sekolah yang membentuk saya sebagai remaja.

"Keutamaan saya sekarang adalah menambah baik kemudahan sekolah, khususnya makmal komputer dan sistem pengudaraan bilik darjah agar pelajar dapat belajar dalam persekitaran lebih kondusif," katanya.

SMK St. Xavier merupakan antara sekolah terawal ditubuhkan di Pulau Pinang sejak 1852.

Pengalaman luas sebagai guru

Selepas tamat sekolah, Janestanstein memulakan kerjaya di sebuah bank sebelum melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras pada 1992.

Wanita itu kemudiannya menamatkan pengajian pada 1994 dan ditempatkan di Terengganu antara 1995 hingga 1997.

Usai kembali ke Pulau Pinang, Janestanstein berkhidmat di beberapa sekolah termasuk Convent Pulau Tikus, SK Tanjung Bungah, Convent Light Street serta Convent Datuk Keramat selain pernah bertugas di SMJK Ave Maria Convent, Ipoh pada 2003.

Tig tahun kemudian, beliau ditempatkan di SMK Teluk Bahang yang memberikan pengalaman berharga dalam mengurus komuniti sekolah besar, diikuti jawatan kepimpinan di Methodist Boys’ School (2022) dan Sekolah Perempuan Methodist (2023).

Komitmen pelajar

Lebih mesra dipanggil Cikgu Jane dalam kalangan pelajar, pengetua baharu itu menekankan dasar pintu terbuka dan menggalakkan lebih 1,200 pelajar St. Xavier untuk mendekatinya.

"Saya percaya pada kebebasan dan keterangkuman. Saya mahu semua pelajar sama ada lelaki atau perempuan, berasa bebas untuk bercakap dengan saya bila-bila masa," katanya.

St. Xavier kini merupakan sekolah campur bagi tingkatan satu hingga empat, manakala tingkatan lima masih terdiri daripada pelajar lelaki dan bermula tahun depan, sekolah berkenaan akan menerima semua pelajar lelaki dan perempuan sepenuhnya

Pelantikan tertinggi

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengelola St. Xavier, Victor Tan menyambut baik pelantikan tersebut.

"Saya yakin dengan kepimpinan Janestanstein dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk mengekalkan tradisi kecemerlangan sekolah," katanya.

Bagi Janestanstein sendiri, memimpin sekolah yang pernah mendidiknya adalah satu penghormatan terbesar diterima.

"Ini tentang penghargaan semula kepada sekolah yang telah membentuk diri saya, saya berharap dapat berkhidmat di sini sehingga bersara," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram