[VIDEO] 'Susah ye kak nak besarkan anak', bekas atlet paralimpik Kelantan kental sara keluarga walau serba kekurangan


  • Bonda
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Tangkap layar memaparkan Muhammad Hafidz selepas keluar dari sebuah bank di Kubang Kerian.

KISAH seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal yang gagal mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran automatik (ATM) meraih perhatian ramai selepas tular di media sosial.

Kejadian yang berlaku di sebuah bank di Kubang Kerian, Kelantan, itu sempat dirakam seorang remaja perempuan dan dikongsikan di akaun TikTok miliknya, nninieeee pada Rabu.

Menurut remaja itu, lelaki berkenaan, Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 44, beberapa kali mencuba mengeluarkan wang tetapi tidak berhasil. 

BACA LAGI: Saksi pengorbanan ibu hilang suami, wanita kerdil berjiwa besar bangkit perkasa hak OKU

BACA LAGI: Lafaz taklik Braille sah selagi menepati rukun nikah, mudahkan golongan OKU — Peguam

"Mungkin bank pak cik itu ada masalah, ada sorang makcik ni tegur dia, 'nak ambil duit ke?' 

"Pak cik itu pun jawab ya, 'susah ya kak nak boleh besarkan anak, dalam keadaan begini pun saya kena teruskan demi anak'," katanya seperti dikongsikan menerusi kapsyen video berkenaan.

Rakaman turut memaparkan wajah anak perempuannya yang menunggu di luar bank, kelihatan murung apabila si ayah terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Difahamkan, Muhammad Hafidz dan isterinya, Nurul Izzaifah Daud, 36, merupakan bekas atlet paralimpik Kelantan yang aktif suatu ketika dahulu sebelum bersara.

Muhammad Hafidz juga difahamkan menjual keropok lekor untuk menyara keluarganya. — Facebook/Awang Halim Rosman

Kini pasangan tersebut bekerja keras untuk menyara keluarga dan membesarkan dua anak mereka yang normal.

Muhammad Hafidz yang juga peniaga kecil sebelum ini pernah tular di media sosial selepas bertindak memohon untuk menjalankan perniagaan keropok lekor di hadapan sebuah pusat beli-belah di Kubang Kerian.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi warga maya yang bukan sahaja meluahkan rasa simpati, malah mengagumi ketabahan dan semangat Muhammad Hafidz yang tetap gigih berusaha meskipun berdepan kekangan fizikal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram