[VIDEO] Cara hidup 'homestead' makin popular di Malaysia, hidup atas tanah sendiri, ternak, tanam demi masa depan


  • Hias
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Trend homestead semakin digemari rakyat Malaysia yang mahu hidup berdikari dengan bercucuk tanam dan menternak di tanah sendiri.

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai rakyat Malaysia memilih gaya hidup homestead iaitu tinggal di rumah atas tanah sendiri, mengusahakan kebun, menternak haiwan dan cuba berdikari dengan hasil bumi.

Trend itu bukan sahaja lahir daripada keinginan untuk hidup lebih sihat dan bebas, malah ia juga menjadi ruang untuk membina komuniti baharu yang berkongsi minat sama.

Homestead memberi peluang untuk kembali kepada asas kehidupan seperti bercucuk tanam, memelihara ayam atau kambing dan menjadikan hasil itu sebagai sumber makanan keluarga.

BACA LAGI: [VIDEO] Hakim 'penyayang' meninggal dunia, 5 kes wanita, ibu tunggal kendalian Caprio sarat empati, pertimbangan

BACA LAGI: 'One of the greatest joys in my life', Zahra Aileen pelengkap hidup Sarah Hildebrand, suami

Bagi sesetengah pemilik, ia juga satu cara menjana pendapatan tambahan dengan menjual hasil lebihan kepada jiran dan rakan-rakan.

Lihat kepada beberapa contoh individu yang kini menjadi inspirasi kepada komuniti homestead tempatan.

Melalui perkongsiannya di Threads, @diyanady berkongsi kehidupan sehariannya di homestead seperti menyiram pokok, menjaga reban ayam dan menulis 'newsletter' mingguan.

Apa yang unik, Diyana tidak hanya menanam untuk keluarga tetapi juga menjadikan lebihan hasil sebagai sumber pendapatan sampingan.

"Kadang-kadang saya jual surplus dari homestead, mungkin cempedak, ayam vacuum packed, telur dan lain-lain ikut availability.

"Usually saya jual pada kawan-kawan rapat di IG, tapi sekarang dah mula jual di Threads juga. Jadi semua yang berdekatan boleh rasa manfaat makanan organik," katanya.

Seorang lagi penggemar homestead di Selangor memilih untuk mengusahakan kebun herba seperti serai, kunyit, halia dan misai kucing.

Keunikannya adalah beliau membuka kebun itu untuk 'workshop' kecil-kecilan di hujung minggu.

Ramai anak muda dan keluarga datang belajar cara menanam secara organik, sambil membeli herba segar untuk kegunaan harian.

Usaha itu secara tidak langsung membina komuniti kecil yang sama-sama berkongsi ilmu bercucuk tanam.

Berbeza pula di Amerika Syarikat, homestead sudah menjadi satu budaya sejak lama.

Ramai memilih untuk tinggal di kawasan luar bandar dengan fokus kepada self-sustainability seperti menanam sayuran, menternak ayam, lembu atau kambing dan menghasilkan produk sendiri seperti susu, keju serta roti.

Ada yang turut memasarkan hasil ini secara farm-to-table kepada restoran dan pasar komuniti, menjadikan homestead bukan sekadar gaya hidup tetapi juga punca ekonomi keluarga.

Manakala di Eropah, khususnya di negara seperti Sweden, Denmark dan Jerman, homestead sering dikaitkan dengan konsep eco-living.

Rumah dibina dengan teknologi hijau, penggunaan tenaga solar dan kitar semula air hujan.

Penduduk di sana menekankan konsep komuniti dengan mereka berkongsi kebun besar, ternakan dan mengadakan pasar kecil setiap minggu untuk menjual hasil pertanian segar.

Di Indonesia dan Filipina, homestead semakin mendapat perhatian generasi muda yang kembali ke kampung halaman selepas pandemik.

Mereka mengusahakan tanah keluarga untuk menanam sayuran organik dan membuka kafe kecil berasaskan hasil sendiri.

Trend itu dilihat sebagai gabungan antara gaya hidup moden dan tradisi pertanian, sekali gus menjadikan homestead sebagai cara hidup baharu yang lebih lestari.

Homestead kini semakin berkembang kerana ia memberi lebih daripada sekadar makanan segar.

Ia menawarkan keseimbangan hidup, peluang bisnes kecil-kecilan dan komuniti yang menyokong.

Di tengah-tengah dunia moden yang penuh kesibukan, homestead menjadi pilihan bagi mereka yang mahu kembali kepada nilai kehidupan sederhana, dekat dengan alam dan bebas daripada kebergantungan penuh kepada pasaran.

Seperti kata Diyana, "Bela ayam bukan sekadar untuk telur atau anak ayam comel. Ia juga tentang sumber makanan segar dan bersih yang kita sediakan di atas meja keluarga." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram