Mahu jadi suara bagi komuniti fesyen tertindas, Haida Yusof tegas prinsip kritik bukan untuk jatuhkan sesiapa


  • Gaya
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Beliau menegaskan, kritikan yang membina sepatutnya dilihat sebagai ruang memperbaiki diri, bukan sebagai serangan peribadi.

"BUKAN niat nak menjatuhkan sesiapa, hanya mahu menjadi suara bagi mereka yang tidak berani bersuara".

Itu kata penata gaya dan pengkritik fesyen, Haida Illiani Md Yusof, 36, yang kini semakin lantang bersuara mengenai perkembangan fesyen tanah air.

Menurut Haida, budaya masyarakat tempatan masih sukar menerima kritikan kerana sering menganggap ia sebagai tanda ‘dengki’ atau mahu menjatuhkan orang lain.

BACA LAGI: Bukan semua negatif, gosip dengan kawan bantu eratkan hubungan, baiki emosi

BACA LAGI: 'Kalau tak kemas katil, tak dapat apa mereka nak', Ziha Salleh didik 2 anak lelaki elak buli wanita buat kerja rumah

“Saya ada dengar cerita mengenai industri fesyen Malaysia yang kurang enak didengari, jadi saya rasa ada keperluan untuk menambah baik.

"Saya akan cuba jadi suara untuk mereka yang mungkin takut nak bersuara atau yang tertindas,” katanya ketika ditemu bual Majoriti.

Perjalanan awal dalam fesyen

Haida sebenarnya bermula dari laluan berbeza. Berbekalkan ijazah dalam bidang Perhubungan Awam (PR) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau menjejakkan kaki dalam dunia fesyen menerusi sebuah syarikat acara sekitar 2010.

Daripada situ, beliau diterima bekerja sebagai penata gaya di sebuah majalah berbahasa Inggeris dan menimba pengalaman hampir tiga tahun sebelum memilih untuk menjadi penata gaya bebas pada 2016.

“Saya nampak ada ruang untuk freelance. Mula dengan styling selebriti, komersial dan jenama. Selepas itu saya terbitkan majalah digital sendiri. Dari situlah perjalanan saya sebagai stylist semakin kukuh,” kongsinya.

Pengalamannya termasuk menata gaya untuk muzik video Forevermore nyanyian Yuna serta terlibat di pentas antarabangsa seperti Jakarta Fashion Week, Milan Fashion Week, Paris Fashion Week dan pertunjukan di New York.

Tiada identiti jelas

Dalam pemerhatian Haida, fesyen Malaysia masih belum memiliki identiti yang kuat. Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, keadaan ini berpunca daripada ketiadaan rujukan konsisten kepada ikon atau tokoh yang boleh dijadikan lambang fesyen negara.

“Kalau di luar negara, mereka ada ikon tersendiri yang mencerminkan budaya dan identiti fesyen. Kita di malaysia masih tercari-cari.

“Saya rasa pada zaman dahulu, kita ada figura seperti Noor Kumalasari yang bukan sahaja dikenali sebagai pelakon tetapi juga ikon fesyen. Hari ini, kita kurang tokoh sebegitu untuk dijadikan rujukan,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Bagi Haida yang sering dilihat menggayakan sarong, ketiadaan identiti ini menyebabkan fesyen Malaysia sukar mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Kritikan demi kemajuan

Kini, fokus Haida lebih kepada memberi pandangan tegas dan berani terhadap industri fesyen Malaysia.

Beliau mengakui, semasa aktif sebagai penata gaya dahulu, banyak masalah industri hanya dibincangkan di belakang tabir.

Namun, setelah berpindah ke Dubai, pandangan beliau terhadap fesyen Malaysia menjadi lebih luas.

Ketiadaan identiti menyebabkan fesyen Malaysia sukar mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. — Gambar hiasan/Arkib

"Dulu saya dalam bubble. Apabila duduk luar negara, saya nampak potensi Malaysia daripada perspektif berbeza.

"Semangat patriotisme itu makin tinggi dan saya rasa kita mampu bangkit kalau ada ruang dan keberanian untuk berubah," jelasnya.

Beliau menekankan, kritikan yang diberikan bukan bertujuan menjatuhkan sesiapa, tetapi untuk membina.

"Apabila saya kritik, saya tak ada agenda untuk menjatuhkan sesiapa. Saya melihat diri ini sebagai seorang rakan atau lebih baik lagi macam seorang kakak.

"Kalau ada benda yang patut dipuji, saya akan puji. Kalau ada yang tak betul, saya akan tegur," kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Beliau juga optimis terhadap bakat-bakat muda dalam industri fesyen Malaysia yang berani mengambil risiko dan berpotensi melangkah ke peringkat antarabangsa.

“Generasi pereka muda sekarang sangat terbuka dan berani mencuba. Walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki, saya yakin mereka ada potensi besar,” ujar beliau.

Beliau menegaskan, kritikan yang membina sepatutnya dilihat sebagai ruang memperbaiki diri, bukan sebagai serangan peribadi.

“Kalau kita asyik anggap teguran itu ‘dengki’, sampai bila-bila pun tak maju. Sedangkan di luar negara, budaya kritik sudah sebati dan ia yang mendorong kemajuan fesyen mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, fesyen Malaysia berpotensi melangkah lebih jauh sekiranya pemain industri termasuk pereka, stylist, pihak korporat, pelabur, media serta masyarakat dapat bersama-sama membina satu ekosistem yang jujur dan terbuka.

“Generasi baharu sudah menunjukkan keberanian, cuma kita perlu berikan mereka ruang, sokongan dan keberanian untuk mendengar pandangan berbeza. Barulah fesyen Malaysia boleh ke tahap lebih tinggi,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram