
CINTA terhadap karya seni membawa wanita bernama Shereena Mohd Aref menelusuri sebuah perjalanan penuh warna dan makna.
Baginya, seni bukan sekadar hobi atau hiburan, tetapi satu cara hidup yang menghubungkan jiwa dengan keadaan di sekelilingnya.
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021 juga membuka peluang buat wanita berusia 33 tahun itu berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan.
BACA LAGI: Duduki carta ke-93, Yahya antara nama bayi lelaki Islamik paling popular di UK
BACA LAGI: Bermodalkan RM100, suri rumah hasilkan 'doorgift' comel, ringkas tapi tetap eksklusif
Perniagaan Shereena bermula sejak PKP.
Dari awan biru, Sheerena kini pemilik jenama BroderieWerk yang menghasilkan pelbagai kraf sulaman di Kuala Lumpur.
Selepas tujuh tahun berkhimat sebagai pramugari di syarikat penerbangan antarabangsa Batik Air (dahulunya Malindo Air), Sheerena terpaksa melepaskan kerjayanya apabila negara dilanda pandemik Covid-19.
"Itulah saat bermulanya perniagaan ini sebab saya fikir perlu cari sesuatu untuk lakukan sendiri.
"Jadi, satu hari saya ternampak satu perlatan untuk sulaman di Pinterest dan tertarik nak cuba.
"Walaupun ketika itu saya langsung tiada asas menjahit, tetapi tetap cuba dengan tengok cara-caranya di YouTube.
"Dari satu kit, saya mula suka dan buat seni sulaman sendiri kemudian kongsikannya di akaun Instagram," katanya kepada Majoriti.
Katanya, perkongsiannya mendapat sambutan hangat terutama dalam kalangan kenalan terdekatnya.
Daripada hobi, ia menjadi kerja sepenuh masa untuk Shereena.
Antara kraf sulaman yang dihasilkan Shereena.
Sulaman eksklusif
Shereena berkata, produk sulamannya juga lebih fokus pada pakaian seperti baju, seluar, beg, kasut dan lain-lain.
Tidak seperti perniagaan lain yang mempunyai katalog tetap, sulaman Shereena bersifat eksklusif dan perlu ditempah khas sepenuhnya.
Harga setiap tempahan juga tidak ditetapkan dan kerana bergantung pada rekaan yang dilakukan.
Namun, harga yang dipasarkan adalah dari serendah RM30 hingga mencecah RM1,000 bergantung pada kesukarannya.
"Kebanyakan pelanggan akan hantar pakaian atau kain mereka untuk disulam.
"Kemudian saya akan hasilkan rekaan hiasan dan jika mereka setuju baru akan tetapkan harga.
"Ada juga permintaan pelanggan untuk sulam pada cincin, kayu untuk hantaran mas kahwin," jelasnya.
Shereena turut membuka peluang kepada orang ramai untuk mempelajari tentang seni sulaman.
Kerja 24 jam
Menjalankan operasi perniagaan sepenuhnya dari rumah, ibu kepada dua anak tidak menafikan bahawa ia antara cabaran besar buatnya.
"Orang kata kalau bekerja sendiri di rumah, boleh urus masa sendiri. Memang betul, tetapi sebenarnya terasa seperti bekerja 24 jam.
"Siang menjaga anak-anak, malam baru dapat menyulam.
"Kadang-kadang bila terima banyak tempahan sekali gus, memang rasa penat, tetapi saya pujuk hati sekurang-kurangnya dapat bekerja dan anak-anak depan mata," ujarnya.
Baginya, anak-anak merupakan sumber kekuatan terbesar dalam mendorongnya meneruskan perniagaan tersebut.
Kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu, setiap tempahan juga dilakukan dengan sepenuh hati walaupun sukar pada awalnya.
"Alhamdulillah, Tuhan permudahkan dan ini adalah sesuatu yang saya tak tahu saya boleh buat.
"Sebelum ini, nak jahit butang atau seluar koyak pun tak tahu.
"Tetapi, setiap hari saya cuba tanpa putus asa sehingga jadi perkara mudah sekarang," katanya.
Selain mengambil tempahan, Shereena pada masa sama membuka bengkel menyulam di sekitar Kuala Lumpur.
"Saya harap suatu hari nanti Insya-ALLAH mungkin boleh buka studio sendiri di mana orang ramai boleh lihat dan belajar untuk hasilkan kraftangan seperti ini," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram