'Kalau tak kemas katil, tak dapat apa mereka nak', Ziha Salleh didik 2 anak lelaki elak buli wanita buat kerja rumah


  • Bonda
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Ziha mendidik dua anak lelakinya untuk menjalankan tugas di rumah secara adil. — Instagram/Ziha

HAMPIR sedekad melayari alam rumah tangga, penyanyi dan pelakon Ziha Salleh, 30, mengakui ia satu tempoh pembelajaran baginya.

Selain aktif meneruskan kariernya dalam industri seni, Ziha tetap tidak lupa peranannya sebagai isteri dan ibu kepada dua anak lelakinya.

Ziha bagaimanapun mengakui bahawa tiada rahsia khusus atau tip dalam mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.

BACA LAGI: Duduki carta ke-93, Yahya antara nama bayi lelaki Islamik paling popular di UK

BACA LAGI: [VIDEO] Guru teruja tengok ibu bapa kreatif guna bahan kitar semula hasilkan pakaian merdeka anak

Ziha juga pernah berhenti seketika dalam nyanyian untuk lebih fokus kepada keluarga. — Instagram/Ziha

"Sebenarnya tiada tip sebab perkara ini adalah pengalaman yang akan dilalui oleh semua orang dalam fasa masing-masing.

"Tetapi, saya belajar sesuatu juga pada lima tahun perkahwinan pertama. Ia masih fasa mengenali sebenarnya.

"Waktu itu saya rasa betul-betul kenal diri sendiri sebagai isteri dan pasangan saya," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, tempoh tersebut mengajarnya cara untuk menyesuaikan diri dengan karakter suaminya.

Kata Ziha, komunikasi untuk mencari titik tengah dalam setiap perbincangan adalah kunci utama dalam rumah tangga.

"Selepas lima tahun, barulah kita mula dapat sesuaikan dengan semua perkara.

"Saya hanya enjoy dan perlu ada komunikasi dan selalu keluar dating bersama," jelasnya.

Dalam pada itu, Ziha turut menekankan kepentingan mendidik anak lelaki agar tidak meletakkan beban kerja rumah hanya pada wanita.

Dua anak lelaki Ziha dididik untuk melakukan tugas rumah. — Instagram/Ziha

Katanya, tugas mengemas rumah perlu diberikan secara adil tidak kira sama ada anak perempuan atau lelaki.

"Lelaki pun harus buat kerja rumah. Saya ada dua anak lelaki, saya satu-satunya perempuan dalam keluarga.

"Tetapi saya tidak didik mereka semua perkara saya buatkan. Biasanya saya akan ajar untuk kemas katil setiap kali bangun dan kalau tak buat, tak akan dapat apa mereka minta.

"Saya akan pastikan mereka membesar menjalankan tanggungjawab di rumah dan tidak membuli bakal isterinya nanti," ujarnya.

Katanya, rutin mengemas rumah bersama anak-anak menjadi rutin keluarganya merupakan pendekatan terbaik.

Sementara itu, Ziha kini kembali aktif mempromosikan single terbaharunya berjudul Romansa yang menampilkan genre city pop.

Untuk rekod, Ziha sah berkahwin dengan suaminya, Zarul Hafis Zarak Kamal pada 8 Oktober 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram