Lafaz taklik Braille sah selagi menepati rukun nikah, mudahkan golongan OKU — Peguam


  • Cinta
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Penyediaan lafaz taklik dalam tulisan Braille adalah satu langkah progresif, inklusif dan sah dari segi hukum syarak. — Gambar janaan AI

MELAKA mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama di Malaysia menyediakan lafaz taklik dalam tulisan Braille bagi memudahkan golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan menjalani proses akad nikah.

Inisiatif julung kali itu diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempena sambutan Maal Hijrah 1447H yang berlangsung di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel, Melaka, pada Khamis.

Mengulas mengenai pengumuman itu, Peguam Nurul Syafawani Rahim berkata, dari sudut pandang hukum syarak, Braille dianggap sebagai Kitabah (penulisan). 

BACA LAGI: Melaka jadi pelopor sedia dokumen lafaz taklik dalam tulisan Braille

BACA LAGI: 'Suami lafaz taklik sesuka hati, kemudian menyesal', peguam syarie perjelas implikasi terhadap rumah tangga

Menurutnya, dalam fiqh, penulisan merangkumi segala medium yang difahami, seperti tulisan moden, tulisan tangan atau Braille. 

"Maka, Braille lebih berfungsi sebagai alat bantu membaca. Inisiatif penyediaan lafaz taklik dalam Braille ini adalah sejajar dengan prinsip al-taysir (memudahkan) dan raf’ al-haraj (menghilangkan kesukaran) dalam pelaksanaan syariat Islam yang tidak mengabaikan golongan OKU.

"Ia malah mengiktiraf hak mereka untuk melaksanakan tanggungjawab agama, termasuk dalam urusan pernikahan. 

"Yang penting ia sepenuhnya difahami dan dengan kerelaan pihak sendiri," katanya kepada Majoriti.

Nurul Syafawani berkata, lafaz diperlukan untuk sah akad dan tulisan hanya diterima jika seseorang itu tidak mampu bercakap.

Nurul Syafawani menjelaskan, terdapat kaedah fiqh dalam bab akad dan iqrar yang menyatakan tulisan tidak boleh menggantikan lafaz melainkan dalam keadaan tidak mampu.

Ujar beliau, ia bermaksud, lafaz diperlukan untuk sah akad dan tulisan hanya diterima jika seseorang itu tidak mampu bercakap.

"Sebagaimana yang difahami, Braille adalah penulisan. Dalam Perkara 69 Undang-Undang Sivil Islam (Al Ahkam Al-‘Adliyyah) yang bermaksud “Tulisan itu seperti percakapan”.

"Perkara ini juga hendaklah dibaca bersama dengan Perkara 1606 Undang-Undang Sivil Islam (Al Ahkam Al-‘Adliyyah) yang memperuntukkan "Ikrar dengan tulisan sama seperti ikrar dengan lisan”.

"Dalam konteks Braille, jika pengantin lelaki membaca dan memahami lafaz taklik daripada teks Braille tersebut serta lafaz itu dibuat di hadapan saksi selepas akad nikah, maka ia adalah sah. 

"Justeru, akad nikah berdasarkan Braille adalah sah selagi menepati rukun nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali nikah yang sah, ijab dan qabul serta dua saksi," jelasnya.

Taklik adalah mekanisme perlindungan terhadap isteri dalam perkahwinan. — Gambar hiasan

Inisiatif penyediaan lafaz taklik dalam tulisan Braille juga amat signifikan dalam menjunjung prinsip maqasid syariah, terutamanya dalam aspek berikut:

1) Hifz al-‘aql (Memelihara akal) 

Dengan membolehkan OKU penglihatan memahami isi kandungan taklik secara langsung, ia memastikan akad dilakukan dengan kefahaman, bukan sekadar mengikuti tanpa sedar.

2) Hifz al-nafs (Memelihara nyawa dan maruah) 

Taklik adalah mekanisme perlindungan terhadap isteri dalam perkahwinan. Usaha itu memastikan pengantin lelaki memahami tanggungjawabnya, sekali gus melindungi pasangan daripada kezaliman dan pengabaian.

3) Hifz al-‘ird (Memelihara kehormatan) 

Inklusiviti dalam prosedur perkahwinan menyelamatkan golongan OKU daripada stigma atau pengabaian hak sebagai suami isteri yang sah.

4) Al-‘adalah (keadilan) dan al-maslahah (kemaslahatan) 

Inisiatif itu mewujudkan keadilan dengan menyediakan akses sama kepada semua individu tanpa diskriminasi selaras tuntutan Islam yang universal.

Mengupas lanjut, Nurul Syafawani berkata, penyediaan lafaz taklik dalam tulisan Braille sebagaimana inisiatif kerajaan Melaka adalah satu langkah progresif, inklusif dan sah dari segi hukum syarak. 

"Ia menunjukkan bahawa Islam sentiasa bersifat rahmah, adil dan praktikal dalam memenuhi keperluan masyarakat, selaras tuntutan zaman dan keperluan golongan istimewa.

"Proses penambahbaikkan ini tidak sepatutnya terhenti di sini tetapi diperluas kepada pelbagai lagi dokumentasi patuh syariah yang lain," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram