Bukan murung, wanita mengamuk di Kajang rupanya stres melampau


  • Tular
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Tangkap layar seorang wanita dikatakan bertindak menyerang orang awam di sebuah persimpangan lampu isyarat di Kajang, Selangor pada Rabu.

 

 

TULAR di media sosial beberapa rakaman video seorang wanita dikatakan bertindak menyerang orang awam di sebuah persimpangan lampu isyarat di Kajang, Selangor pada Rabu.

Melalui salah satu video berdurasi dua minit 49 saat memaparkan suspek sebelum itu melanggar sebuah motosikal sebelum keluar dari kenderaannya lalu menyerang beberapa individu.

Lebih mengejutkan lagi, wanita berkenaan dilihat cuba menikam beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian.

BACA LAGI: Anak Rafizi Ramli dicucuk jarum suntikan dalam serangan misteri di Putrajaya

BACA LAGI: 'Teruskan berjuang dan jangan berhenti berharap', bapa Zulfarhan titip kata-kata semangat buat keluarga Zara Qairina

Kejadian menjadi lebih cemas apabila suspek didakwa sempat mencederakan seorang penunggang motosikal sebelum melarikan diri ke dalam sebuah pusat beli-belah berhampiran.

Namun, dia berjaya ditahan oleh orang awam sebelum memasuki premis tersebut dan diserahkan kepada pihak berkuasa.

Rakaman kejadian dimuat naik di media sosial itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Seorang pengguna Facebook Hasmie Hazmie menekankan menekankan bahawa orang awam perlu bersikap tenang dan tidak menambah tekanan kepada suspek, kerana situasi sebenar sebelum kejadian tidak diketahui.

"Aku faham orang macam itu. Dia dalam ketakutan dan tekanan, jadi dia sangat risau orang akan menyalahkannya. Bagi kita, walaupun dia salah, perlu kawal keadaan, tenangkan dia dahulu dan reda suasana. Panggil pihak berkuasa atau polis untuk menguruskan keadaan, jangan menambah tekanan.

"Kita tidak tahu masalah sebenar yang dihadapinya sebelum insiden berlaku.

"Kesian pada anak-anak dan keluarganya yang tidak tahu keadaan sebenar. Bagi kita yang beragama Islam, tunjukkan akhlak yang sebenar. Aku pernah berada dalam situasi sebegini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fuad menegaskan, tindakan menahan suspek oleh orang awam boleh diterima selagi tidak berlebihan.

“Jika cedera ringan berlaku semasa bergelut, tiada masalah, asalkan penangkap bekerjasama dengan polis,” ujarnya.

Kejadian itu sekali lagi membuka perbincangan mengenai keselamatan di persimpangan sibuk dan pentingnya orang awam bersikap berhemah apabila berhadapan individu dalam keadaan cemas atau terganggu.

Dalam pada itu, perkembangan daripada pihak polis memaklumkan bahawa wanita berkenaan berada dalam keadaan tekanan yang tinggi ketika kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek berusia 24 tahun itu berasa kecewa dengan pengalamannya menuntut di sebuah universiti awam di Kajang sehingga menyebabkan dia berasa tertekan.

“Tiada rekod menunjukkan suspek mengambil sebarang ubat atau menghidap kemurungan.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar tindakannya.

“Kami telah merekodkan keterangan 11 individu termasuk mangsa.

“Dua mangsa berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital,” katanya pada Khamis (14 Ogos), sambil memaklumkan bahawa suspek direman sehingga 20 Ogos.

Naazron berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pukul 11.58 pagi Rabu (13 Ogos) selepas suspek melanggar tiga buah motosikal berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang.

Suspek kemudian keluar dari keretanya dan menyerang beberapa orang dengan pisau sebelum orang awam berjaya menahannya.

Pihak polis menemukan dua bilah pisau dalam simpanannya dan wanita itu diserahkan kepada pihak berkuasa.

Enam orang berusia antara 21 hingga 60 tahun cedera dalam kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram