
SERAMAI 1,020 daripada 36,428 pelajar sekolah menengah di Selangor dikenal pasti menunjukkan tanda awal berisiko tinggi mengalami kemurungan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.
Katanya, pelajar-pelajar tersebut dikenal pasti melalui saringan menggunakan soal selidik Patient Health Questionnaire (PHQ), iaitu mewakili 2.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar yang disaring.
BACA LAGI : [VIDEO] Kanak-kanak Iran dihempas 'lelaki gila' di lapangan terbang Moscow makin pulih, boleh makan sendiri
"Dapatan itu adalah berdasarkan Analisis Saringan Kesihatan Mental Minda Sihat bagi sesi persekolahan 2024/2025 yang menunjukkan secara keseluruhannya tingkah laku psikososial pelajar masih terkawal," katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pelbagai program intervensi dilaksanakan bagi menangani kebimbangan berkaitan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
Malah, program berkenaan turut diperluaskan ke sekolah rendah, khususnya bagi murid Tahun Lima dan Tahun Enam sebagai langkah meningkatkan kesedaran awal mengenai kesihatan mental serta membina ketahanan emosi.
"Intervensi yang dilaksanakan memberi fokus kepada pembangunan emosi dan tingkah laku, aktiviti pencegahan awal serta pengukuhan kapasiti guru bimbingan dan kaunseling di sekolah," katanya.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk bengkel strategi kesihatan mental seperti teknik relaksasi, latihan pernafasan, aktiviti fizikal serta urutan bahu dan leher.
Jamaliah berkata demikian bagi menjawab soalan Azmizam Zaman Huri (PH–Pelabuhan Klang) yang ingin mengetahui langkah segera Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam menangani isu kemurungan dan kebimbangan pelajar bagi sesi persekolahan 2024/2025.
Menurutnya lagi, selain program intervensi umum, JPN Selangor juga menjalankan program Minda Sihat yang dilengkapi dengan modul-modul khusus.
Antara modul yang diperkenalkan termasuk sesi kaunseling, kesedaran emosi, kemahiran daya tindak, pengurusan tekanan 10B, teknik pernafasan, mindfulness, pengurusan kemarahan, penyelesaian masalah, pemikiran positif dan komunikasi berkesan.
"Inisiatif-inisiatif ini berperanan sebagai langkah pencegahan awal dan bertujuan mengukuhkan kesejahteraan mental pelajar sejak di peringkat sekolah rendah," ujarnya lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram