'Remaja zaman kini 'fragile', lemah tapi ada sebab'


KESEDARAN mengenai kemurungan anak perlu ada dan ia adalah pengetahuan asas bagi individu yang sama ada bakal atau sudah mempunyai anak. — Gambar hiasan

KEMURUNGAN dalam kalangan remaja bukan perkara main-main disebabkan terdapat kes, yang mana para pelajar berhadapan dengan 'suicidal thoughts' dan rasa lebih baik mati.

Berkongsi pengalaman mengajar di sekolah menengah, pengguna @hakiimIsmail95 berkata, seramai tiga pelajar didiagnos kemurungan atau depression, manakala seorang lagi mengalami gejala gangguan tekanan selepas trauma atau Post Traumatic Stress Disorder (PTSD).

Lebih menyedihkan, katanya, salah seorang daripada mereka mempunyai perasaan takut untuk memberitahu ibu bapa tentang masalah yang dihadapinya.

"Sebab bila mengadu stres, katanya mengada-ngada.

"Mungkin di peringkat generasi mak ayah masih kurang kesedaran tentang isu kesihatan mental, dan mereka tetap nak membandingkan generasi mereka dahulu yang lasak kental dengan generasi anak-anak yang dianggap lembik.

"Saya tetap berpendapat ini perbandingan yang meleset," katanya menerusi laman Twitter.

Apabila mereka mengadu kepada kaunselor, katanya, skrip dan teks yang sama berkaitan fakta-fakta psikologi diulangi selain diselangi dengan ceramah.

Dakwanya, pelajar tersebut turut dipersalahkan kerana tidak memahami orang dewasa, sekali gus menyebabkan mereka berada dalam dilema dan terus terpendam.

Selain itu, dia turut menyifatkan remaja zaman kini sememangnya mudah 'fragile' atau lemah, atas banyak faktor disebabkan mereka generasi gajet.

Lebih-lebih lagi, katanya, mereka merupakan generasi daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Ditambah pula sebahagian pelajar bermasalah ini hampir peratusan besarnya dari broken family (keluarga bermasalah), mak ayah gaduh, berpisah, kemudian jadikan anak-anak sebagai tempat lepaskan amarah kepada bekas pasangan. Jadi, kemurungan ini terbawa-bawa dalam pelajaran.

"Sukan pula diubahsuai kepada e-Sukan yang hanya terperuk dalam bilik tanpa terdedah dengan dunia luar. Ini kenyataan pahit yang harus ditelan," katanya.

Mengakui masih belum mempunyai cahaya mata, dia berkata, kesedaran berkaitan kemurungan anak perlu ada dan ia adalah pengetahuan asas bagi individu yang sama ada bakal atau sudah mempunyai anak.

"Justeru, saya menyeru untuk kita saling mengingatkan antara satu sama lain, senantiasa berinteraksi dengan kawan-kawan juga generasi muda tentang kesihatan mental ini.

"Jika nanti ada yang jadi mak ayah, guru, atau apa-apa kedudukan anda, fahami perkara ini dengan sebaiknya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

stres, kemurungan, ibu bapa, remaja, kaunselor