
ADA masa, apabila anak buat salah, hati ibu bapa penuh dilema. Mahu marah, merotan atau dibiarkan saja?
Dalam budaya keluarga di Asia termasuk Malaysia merotan bukanlah perkara asing kerana sejak dahulu dianggap sebahagian daripada disiplin.
Malah ada yang menyebut, rotan itu tanda sayang kerana mahu anak-anak belajar daripada kesilapan.
BACA LAGI: Renovasi berakhir dengan ruang bawah tanah, apresiasi objek 'luxe' bangkitkan suasana 'cosy'
Pun demikian, dunia berubah dan semakin banyak kajian moden menimbulkan persoalan, adakah rotan benar-benar berkesan atau hanya meninggalkan luka dalam diam?
Public Health Malaysia berkongsi bahawa rotan hanya wajar digunakan dalam keadaan terkawal.
Rotan yang mendidik tidak boleh lahir daripada marah, tetapi harus disertai penjelasan dan pelukan selepasnya.
Hukuman ringan pada tapak tangan atau punggung luar pakaian, sekali dua sahaja, sudah memadai.
Ini kerana pada akhirnya, anak-anak tidak akan mengingati peritnya rotan itu, tetapi yang tersimpan dalam hati adalah hangatnya pelukan ibu bapa dalam menegur kesalahan mereka.
Beberapa kajian dalam konteks budaya Asia mendapati hukuman fizikal ringan kadangkala membantu anak lebih patuh.
Journal of Family Psychology (2013) misalnya, mencatat bahawa dalam persekitaran tertentu, rotan sederhana tidak semestinya membawa kesan buruk jika disertai kasih sayang.
Namun, penyelidikan antarabangsa memberi peringatan.
Sementara itu, American Academy of Pediatrics (2018) juga menyenaraikan kesan jangka panjang rotan antaranya tingkah laku agresif, risiko kemurungan dan hubungan renggang dengan ibu bapa.
Sementara itu, kajian besar oleh Gershoff & Grogan-Kaylor (2016) terhadap lebih 160,000 kanak-kanak mendapati, rotan lebih banyak mendatangkan kesan negatif berbanding kebaikan.
Disebabkan itu, pakar psikologi menggalakkan ibu bapa mencari pendekatan lain yang lebih lembut:
- Natural consequence – biarkan anak merasai akibat tindakannya, seperti mengelap lantai sendiri bila menumpahkan air.
- Time-out dengan kasih – beri ruang untuk bertenang, bukan untuk menghukum.
- Kurangkan hak istimewa – contohnya menghadkan gajet atau television untuk seketika.
- Ganjaran positif – puji dan hargai bila anak menunjukkan tingkah laku baik.
Dengan cara itu, anak belajar bahawa setiap perbuatan ada akibat, tetapi dalam suasana penuh kasih.
Realitinya, rotan bukanlah jawapan tunggal untuk mendidik anak.
Jika dilakukan dengan marah, ia boleh melukai tetapi jika digantikan dengan pendekatan yang penuh kasih, anak-anak akan lebih mudah faham bahawa teguran itu datang daripada cinta, bukan benci.
Ini kerana hakikatnya, anak-anak belajar bukan kerana takut, tetapi kerana mereka rasa disayangi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram