
SEMUA proses penyembelihan dan pemprosesan daging serta produk berasaskan daging yang dibekalkan ke Malaysia dijalankan mengikut piawaian dan peraturan Malaysia serta Australia.
Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, menegaskan langkah itu bertujuan memastikan hanya produk halal yang sahih sampai ke pasaran tempatan.
Beliau menafikan dakwaan dalam video tular bahawa Jakim jarang melakukan audit terhadap daging import dari Australia.
BACA LAGI : Bukan murung, wanita mengamuk di Kajang rupanya stres melampau
BACA LAGI : Lebih 30 tahun dahulu, Anwar Ibrahim pernah arah sekolah ditutup, tukar pengetua terpalit kes buli
"Video bertajuk 'Jakim jarang audit daging import Australia, rakyat Malaysia termakan bangkai' sebenarnya rakaman lama dari 2022 yang dikongsi semula.
“Video tersebut juga mengandungi maklumat tidak tepat dan berpotensi menyesatkan orang ramai,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Sirajuddin, Jakim mempunyai mekanisme penilaian dan pemantauan halal menyeluruh yang melibatkan prosedur komprehensif di peringkat kebangsaan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Mekanisme ini merangkumi penilaian serta pemantauan berterusan terhadap badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim bagi memastikan hanya produk yang mematuhi hukum Islam dan piawaian Malaysia dibenarkan masuk ke pasaran tempatan.
“Di peringkat antarabangsa, Jakim menempatkan Pejabat Halal Attache di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia, yang memantau secara berjadual dan berterusan rumah penyembelihan serta kilang pemprosesan daging yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),” jelasnya.
Selain itu, Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia (DAFF) turut menguatkuasakan peraturan yang mengawal keseluruhan proses penyediaan daging halal untuk eksport.
“Hanya produk yang mematuhi peraturan eksport Australia serta piawaian halal Malaysia dibenarkan dieksport. Di pintu masuk negara pula, pemeriksaan menyeluruh dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Jabatan Kastam.
"Semua dokumen, termasuk sijil halal, nota konsainan dan butiran import, diperiksa dengan teliti sebelum produk dibenarkan masuk,” katanya.
Sirajuddin mengingatkan orang ramai supaya mengesahkan kesahihan maklumat sebelum berkongsi dan merujuk sebarang isu berkaitan halal kepada pihak berkuasa yang berkelayakan.
Terdahulu, tular video mendakwa Jakim jarang melakukan audit di rumah penyembelihan daging di Australia, dakwaan yang dibuat oleh seorang bekas pekerja penyembelihan.
Bekas pekerja itu mendakwa kebanyakan haiwan tidak disembelih mengikut prosedur sebaliknya dilemaskan dalam darah, sebelum daging berkenaan diimport ke Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram