'Aku tak mahu mimpi ini berakhir', arwah abang Uyaina muncul berbaju Melayu putih imamkan solat


  • Cinta
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Uyaina (kiri) menitip ucapan rindu tak berbelah bahagi pada arwah abangnya usai genap tiga tahun pemergiannya.

TIGA tahun berlalu sejak pemergian abang tercinta, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad nyata masih memendam rasa rindu pada Allahyarham yang menghembus nafas terakhir pada 2022.

Bagaikan sudah tertulis, ibu kepada dua cahaya mata itu berkongsi momen menyentuh hati bila mana arwah abangnya muncul dalam mimpinya baru-baru ini.

Menurutnya, arwah Mohd. Attaful Uzair kelihatan segak berbaju Melayu putih dan sedang mengimamkan solat seisi keluarganya di sebuah masjid yang kemudian mengundang tangisan sebak dalam tidur.

BACA LAGI: 'Terima kasih jadi guru, tempat selamat saya', anak titip ucapan istimewa sempena ulang tahun Didie Alias ke-52

BACA LAGI: [VIDEO] Tengku Zatashah realisasi impian kanak-kanak hidap leukemia limfoblastik jadi 'princess' di Istana Selangor

Akui rindu merupakan satu perkara menyakitkan, Uyaina kini hamil anak ketiga sebaliknya enggan mimpi tersebut berakhir dan sebolehnya mahu meluangkan masa lebih bersama abangnya.

"Semalam aku menangis dalam tidur, menangis hampir teresak bantal aku basah, namun mata masih tertutup.

"Aku tak mahu mimpi ini berakhir kerana aku terlalu rindu, rindu pada seseorang yang dah tak ada, diungguli rasa sakit yang teramat.

"Dalam mimpi itu, aku dan seluruh keluarga besarku berada di sebuah masjid besar dan indah dan dia.. Dia yang menjadi imamnya, baju Melayu putih yang dipakainya memancarkan Nur ketenangan pada wajahnya. Aku rindu!" katanya di laman Instagram.

Walaupun pertemuan itu singkat, Uyaina nyata bersyukur kerana diberikan peluang untuk kembali bersua muka dan berpelukan dengan abangnya sebagai pengubat rindu yang sudah lama dipendam.

Tidak menyimpan momen tersebut sendirian, bekas pengacara Wanita Hari Ini itu pantas berkongsi perkara berkenaan dengan ibunya keesokan harinya.

"Aku rindu, walaupun lewat sekelip mimpi namun aku bersyukur kerana engkau hadir mengubat sedikit kerinduan yang menggunung.

"Hari ini, genap tiga tahun engkau pergi dan aku masih merinduimu, al-Fatihah Mohd. Attaful Uzair Arshad," ujarnya.

Terdahulu, Allahyarham yang merupakan seorang doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dilaporkan meninggal akibat serangan jantung.

Pemergiannya berlaku pada hari kelahiran ibu tercinta, Uyaina menjelaskan bahawa arwah telah lama merancang untuk menyambut hari istimewa tersebut namun tidak sempat selepas terlebih dahulu dijemput ilahi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram