[VIDEO] 'Jarang jumpa budak usia 11 tahun menari sehebat ini', Mata Miyu cipta nama pada acara World of Street Woman Fighter Korea Selatan


  • Bonda
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Penari remaja Indonesia, Matamiyu mencetuskan fenomena dalam dunia seni tarian antarabangsa.

PENARI cilik berbakat kelahiran Indonesia, Mata Miyu mencuri perhatian menerusi kemunculannya di acara berprestij World of Street Woman Fighter (WOSWF) di Korea Selatan baru-baru ini.

Tidak hanya tampil sebahagian daripada kumpulan Motiv Crew dari Orlando, Amerika Syarikat (AS), remaja berusia 11 tahun itu turut diberi penghormatan menjadi pembawa bendera dalam pertandingan tersebut.

Aksi lincah Mata Miyu di pentas bersama kumpulan tersohor antarabangsa itu menjadi bualan hangat warga maya ekoran keunikannya yang cukup luar biasa dan tidak setaraf usianya.

BACA LAGI: Nina, suami bakal timang bayi lelaki, Jeanelle Nika paling gembira pada majlis 'gender reveal'

BACA LAGI: 'Aku tak mahu mimpi ini berakhir', arwah abang Uyaina muncul berbaju Melayu putih imamkan solat

"Jarang sekali jumpa gadis berusia 11 tahun boleh menari sehebat ini, malah orang dewasa pun belum tentu mampu meniru gerakan dia,” komen seorang pengguna media sosial.

Latar belakang Matamiyu

Mata Miyu atau nama penuhnya Miyu Ananthanaya Pranoto dilahirkan di Jakarta, Indonesia pada 13 Disember 2013.

Minatnya terhadap tarian bermula seawal usia tujuh tahun, cetusan inspirasi daripada kumpulan K-pop popular seperti BTS dan Wanna One.

Sejak itu, beliau aktif menyertai kelas tarian di Jakarta dengan memberi fokus pada gaya hip-hop dan gaya bebas (freestyle).

Malah, Matamiyu juga kerap menyertai pertandingan tarian, khususnya kategori battle yang membolehkan dia beraksi secara solo ekoran kelebihannya dimiliki dalam kategori terbabit.

Namanya kian memuncak selepas menjadi peserta termuda dalam kategori bawah 16 tahun di Radikal Forze Jam (RF JAM), festival hip-hop terbesar di dunia yang berlangsung di Vietnam pada 2023.

Walaupun tewas pusingan akhir, pencapaian itu menjulang identitinya sebagai peserta termuda dan bintang dalam pembikinan yang kemudiannya menjadi sebutan industri tarian seantero dunia.

Prestasi antarabangsa

Matamiyu sebelum ini pernah mencatat deretan kemenangan pelbagai peringkat tertinggi yang mengangkat namanya ke mata dunia.

- Juara 1 kategori Allstyle Kids pada HipFest 2024 World Final di Ho Chi Minh City, Vietnam, festival tari terbesar Asia Tenggara yang menghimpunkan peserta dari lebih 40 buah negara.

- Juara Allstyle Teenager Side di FEEDBACK KOREA 2024.

- Beberapa gelaran juara di Osaka, Jepun tahun lalu, termasuk U-12 FUTURE Dance Battle dan U-15 Battle After School.

- Di peringkat negeri, Matamiyu mendominasi pelbagai pertandingan, antaranya Juara 1 ON FIRE HIPHOP FREESTYLE Indonesia 2025 serta Juara 1 Junior Division Showcases World of Dance Indonesia 2025.

Kebanggaan Indonesia

Penyertaan Mata Miyu dalam World of Street Woman Fighter bukan sahaja membuktikan kemampuan bakat mudanya, tetapi juga mengangkat reputasi Indonesia di pentas antarabangsa.

Dengan semangat dan dedikasi tinggi, Matamiyu kini dipandang sebagai ikon inspirasi bagi anak-anak muda bukan sahaja di negaranya, malah masyarakat Malaysia yang turut memasang impian dalam bidang seni tari tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram