Gemar bersedekah kepada rakyat antara ganjaran Sultan Brunei, Raja Isteri dikurnia Ulang Tahun Perkahwinan ke-60


  • Cinta
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Majlis ulang tahun perkahwinan Jubli Intan pasangan diraja Brunei berlangsung meriah di Royal Berkshire, Tarindak D'Polo, Jerudong. — Agensi

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bersama Duli Raja Isteri, Pengiran Anak Hajah Saleha Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Haji Mohamed Alam, meraikan ulang tahun perkahwinan Jubli Intan dalam satu majlis penuh adat dan kesyukuran pada Isnin.

Majlis tersebut berlangsung meriah di Royal Berkshire, Tarindak D’Polo, Jerudong, Brunei dengan kehadiran kerabat diraja, pembesar negeri, menteri kabinet serta tetamu kehormat.

BACA LAGI: Nina, suami bakal timang bayi lelaki, Jeanelle Nika paling gembira pada majlis 'gender reveal'

BACA LAGI: 'Aku tak mahu mimpi ini berakhir', arwah abang Uyaina muncul berbaju Melayu putih imamkan solat

Kehadiran kerabat, pembesar negara

Turut berangkat memeriahkan majlis ialah Putera Mahkota bersama isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat lain termasuk Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Putera Abdul Malik, Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Puteri Hajah Masna, dan Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Ketibaan pasangan diraja disambut oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Majlis Kesyukuran serta barisan menteri kabinet termasuk Menteri Hal Ehwal Ugama, Menteri Pertahanan II, Menteri Kesihatan dan Mufti Negara.

Majlis ulang tahun pasangan diraja itu turut dihadiri menteri kabinet serta tetamu kehormat. — Agensi

Doa kesyukuran

Majlis dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran oleh Mufti Negara, diikuti penyampaian pesambah (cenderamata) daripada pembesar negeri serta kumpulan isteri menteri kabinet.

Dalam syarahan khas bertajuk 'Jubli Intan Perkahwinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja Isteri: Satu Kurnia Nikmat ALAH Subhanahu Wata'la', mufti negara menekankan bahawa keberkatan rumah tangga baginda berdua merupakan nikmat yang dikurniakan hasil keimanan, kebajikan serta sifat dermawan baginda yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat.

Baginda Sultan dalam masa sama turut menandatangani kertas peringatan dan memotong kek ulang tahun.

Pembesar negeri serta kumpulan isteri menteri kabinet menyampaikan pasembah pada majlis penuh istiadat itu. — Agensi

Acara diserikan lagi dengan persembahan nasyid oleh kumpulan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta tayangan video khas menyingkap detik bersejarah perkahwinan diraja sejak 1965.

Majlis berakhir dengan sesi junjung ziarah daripada para pembesar negeri yang mengambil kesempatan menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan dan Raja Isteri atas ulang tahun perkahwinan bersejarah tersebut.

Enam dekad perkahwinan diraja

Baginda Sultan dan Raja Isteri telah disatukan pada 29 Julai 1965, menjadikan tahun ini ulang tahun perkahwinan ke-60 buat pasangan diraja berkenaan.

Bahtera mahligai diraja itu sekali gus menjadi simbol kekuatan institusi keluarga diraja Brunei yang cukup disegani rakyat jelata.

Hasil perkongsian hidup, pasangan diraja tersebut dikurniakan seramai enam cahaya mata terdiri daripada tiga putera dan tiga puteri.

Detik awal perkenalan

Sultan dan Raja Isteri mempunyai pertalian keluarga rapat dengan kedua-duanya merupakan sepupu sebelah bapa dalam susur galur keluarga diraja Brunei.

Pertemuan mereka bermula sejak usia muda di Istana Darul Hana, tempat Sultan dan kerabat menerima pendidikan asas agama dan adat istiadat.

Baginda Sultan dan Raja Isteri telah disatukan pada 29 Julai 1965. — Agensi

Hubungan dijalin kemudiannya berkembang dalam suasana penuh adat tradisi melalui siri istiadat pertunangan dan adat diraja.

Pasangan itu akhirnya disatukan dalam sebuah majlis perkahwinan penuh gilang-gemilang di Masjid Negara Brunei pada 29 Julai 1965.

Pewaris takhta, Putera Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah kini memegang jawatan Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri dengan lima lagi cahaya matanya turut memainkan peranan dalam pelbagai bidang, termasuk kebajikan, kesihatan, pendidikan dan adat istiadat negara.

Ulang tahun perkahwinan Jubli Intan yang diraikan baru-baru ini bukan sahaja menjadi tanda kasih sayang yang kekal utuh, tetapi juga simbol kekuatan institusi diraja Brunei yang dekat di hati rakyatnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram