
RAMAI wanita berdepan tekanan dalam menguruskan rumah tangga terutamanya apabila terpaksa mengimbangi kerjaya, peranan sebagai isteri dan tanggungjawab sebagai ibu.
Tekanan emosi yang tidak terkawal sering kali menjadi punca pergaduhan kecil, keretakan hubungan suami isteri, malah lebih teruk ada yang berakhir dengan perceraian.
Mengulas isu itu, pendakwah dan penceramah agama Ustazah Marhamah Rosli menegaskan bahawa akar utama kepada masalah berkenaan ialah kegagalan memahami konsep tauhid.
Jelasnya, kebanyakan wanita generasi kini masih meletakkan kebergantungan hidup sepenuhnya kepada usaha manusia semata-mata, tanpa menyedari bahawa segalanya datang daripada ALLAH.
Hal itu menurutnya menjadi punca hati mudah rapuh dan emosi tidak stabil.
"Apabila wanita tidak faham Tauhid, dia akan menanggung beban perasaan sendiri seperti cepat marah, mudah kecewa dan hilang sabar.
"Sedangkan hati sepatutnya bergantung penuh pada ALLAH, jika asas ini rapuh, keharmonian rumah tangga turut terancam," jelasnya menerusi hantaran di laman sosial.
Ustazah Marhamah Rosli gemar berkongsi ceramah agama di platform sosial.
Hati rapuh, emosi tidak stabil
Ustazah Marhamah dalam masa sama turut menegaskan, wanita yang tidak mengikat hatinya dengan ALLAH akan mudah rapuh apabila berdepan cabaran hidup.
Tekanan kewangan, sikap suami, perangai anak-anak atau ujian kesihatan sering menjadikan mereka cepat tersentuh dan sukar mengawal emosi.
Antara kesilapan kerap berlaku termasuklah:
- Menganggap kejayaan anak hanya datang daripada usaha mendidik tanpa melihatnya sebagai kurniaan ALLAH.
- Menyangka kasih sayang suami berpunca sepenuhnya daripada pengorbanan isteri, bukan anugerah sang pencipta.
- Merasa kecantikan diri adalah milik mutlak hasil penjagaan rapi, sedangkan semuanya bersifat pinjaman sementara.
- Meyakini rezeki keluarga bergantung semata-mata pada kerja keras, bukan ketentuan ilahi.
"Semua itu hanyalah asbab atau jalan, yang menentukan hakikatnya tetap ALLAH SWT.
"Bila wanita salah meletakkan pergantungan, dia akan kecewa bila keadaan tidak berlaku seperti yang diharapkan," tambahnya.
Tauhid kunci ketenangan wanita
Beliau tegas menyatakan bahawa tauhid merupakan kunci ketenangan jiwa seorang wanita yang berupaya membuatkan hati lebih tenang, sabar dan tabah menghadapi ujian.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru kaum wanita supaya memperbanyakkan doa, melatih hati untuk redha dengan ketetapan ALLAH dan sentiasa mendekatkan diri dengan amalan iman seperti membaca Al-Quran, berzikir, serta memperkukuh solat.
"Wanita adalah nadi keluarga, jika hatinya tenang kerana ALLAH maka seluruh keluarga akan merasai keberkatan dan kasih sayang itu," katanya mengakhiri perkongsian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram