Saintis Jepun temukan rawatan baharu CRISPR, potong lebihan kromosom sindrom Down, tangani punca genetik peringkat bayi


  • Bonda
  • Selasa, 22 Jul 2025

Kaedah CRISPR diyakini mampu menyelesaikan masalah kanak-kanak sindrom Down — Agensi

SEKUMPULAN saintis daripada Universiti Mie, Jepun, mencipta harapan baharu dalam usaha merawat masalah bayi sindrom Down.

Menggunakan teknologi penyuntingan genetik Clustered Regularly Interspaced Short Palindromic Repeats (CRISPR), kaedah itu berfungsi memotong lebihan kromosom yang menjadi punca utama kepada masalah tersebut.

Sindrom Down berlaku apabila seseorang bayi dilahirkan dengan salinan tambahan kromosom ke-21, atau dikenali sebagai trisomi 21.

Kromosom tambahan itu menyebabkan pelbagai gangguan perkembangan, termasuk masalah pembelajaran, ciri fizikal berbeza dan beberapa lagi isu kesihatan lain.

CRISPR potong kromosom lebihan

Kajian itu diketuai oleh saintis Ryotaro Hashizume, yang menggunakan teknologi penyuntingan gen CRISPR-Cas9 bagi memadam salinan kromosom lebihan dalam sel manusia terjejas.

Teknik tersebut secara asasnya mensasarkan kromosom yang tidak diperlukan dan memotongnya, sekali gus membantu fungsi sel manusia kembali di skala normal.

"Kami menggunakan pendekatan yang sangat khusus untuk menyasarkan kromosom tambahan dan hasilnya menunjukkan sel kembali menghasilkan protein dalam kadar normal," kata Hashizume dalam laporan kajian dijalankan.

Ryotaro Hashizume berjaya menemukan kaedah rawatan masalah sindrom Down. — Agensi

Hasil awal menunjukkan sel yang dirawat menunjukkan corak pengeluaran protein yang lebih stabil dan mempunyai kadar kelangsungan hidup lebih baik.

Ini memberi petunjuk bahawa tekanan genetik akibat kromosom tambahan telah berjaya dikurangkan.

Walaupun penemuan rawatan itu masih peringkat awal, kejayaan tersebut membuka ruang dan sinar baharu buat pesakit sindrom Down seluruh dunia khususnya bagi menangani punca genetik dari peringkat bayi.

Pakar genetik peringkat global menyambut baik perkembangan tersebut namun, menegaskan masih banyak kajian lanjutan perlu dilakukan sebelum ia diluluskan.

Hal itu termasuk kajian kesan jangka panjang terhadap sel yang diubah suai dan memastikan keselamatan pesakit jika rawatan berkenaan diteruskan ke peringkat klinikal.

Tidak hanya terhad kepada membaiki bahagian kecil DNA, rawatan CRISPR yang mampu membuang lebihan kromosom juga merupakan satu pencapaian besar dalam dunia penyuntingan gen. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram