[VIDEO] Ibu cekal anak usia setahun hidap kanser buah pinggang tahap 3, jalani 15 kemoterapi


  • Bonda
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Seorang ibu kekal cekal walau anaknya menghidap kanser buah pinggang tahap tiga. — Instagram/fatin.hoppipolla

SEORANG bayi comel yang dahulunya ceria dan penuh senyuman kini terpaksa menempuh ujian besar dalam hidup apabila disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap tiga.

Pada usia setahun ketika anak kecil lain sedang rancak belajar berjalan, si cilik dikenali sebagai Irsa Amaya diduga dengan ujian getir dan telah melalui 15 sesi kemoterapi setakat ini.

Pun begitu, individu paling terkesan dengan perkara tersebut adalah ibu yang cukup tabah menghadapi dugaan penyakit kritikal anaknya itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Tengku Zatashah realisasi impian kanak-kanak hidap leukemia limfoblastik jadi 'princess' di Istana Selangor

BACA LAGI: Terkejut keadaan anak saudara usia 2 tahun lebam, berbirat, pengasuh dikatakan sorok 10 jam sebelum hantar pulang ke rumah

Berkongsi kisahnya di laman sosial baru-baru ini, @fatin.hoppipolla mengimbau detik awal anaknya didiagnosis kanser yang dikesan selepas menjalani ujian CT scan ekoran perut bahagian semakin mengeras.

Sejak itu, perjalanan hidup Irsa berubah selepas perlu menjalani beberapa sesi kemoterapi dan radioterapi yang kemudiannya mula meninggalkan kesan fizikal.

Paling ketara apabila rambut si kecil itu mula gugur hari demi hari dikatakan kesan daripada rawatan tersebut.

"Sembilan kitaran, 15 sesi kemoterapi kesemuanya dan enam kali radioterapi, Alhamdulillah ya ALLAH Alhamdulillah dia berjaya.

"She completed all her chemo and radiotherapy treatment, InshaALLAH on October will go through CT Scan, minta tolong doakan keputusan CT scan Irsa yang baik-baik sahaja.

"Ya ALLAH ya Mumit matikanlah semua kanser dalam badan Irsa Amaya Nadine dan jangan Kau Izinkan untuk kanser itu kembali semula ya ALLAH ameen," katanya.

Kini, Irsa kekal tabah menjalani kehidupan hariannya walaupun terpaksa berdepan pelbagai jenis rawatan yang nyata berat untuk dihadapi bagi kanak-kanak seusianya.

Di sebalik tubuh kecil itu tersimpan semangat luar biasa yang menjadi kekuatan buat keluarganya.

Walaupun perjalanan rawatan masih panjang, keyakinan si ibu bahawa anaknya mampu melawan penyakit tersebut menjadi sinar harapan di samping setiap doa, sokongan dan empati masyarakat yang cukup bermakna dalam perjuangan melawan kanser. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram