
'DAHSYATNYA fitnah akhir zaman! Maksiat dan dosa bukan lagi disembunyikan, bahkan ditayang, disebar dan dibanggakan dengan alasan trend'.
Demikian ulasan pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun berhubung isu S-Line yang semakin menjadi ikutan para remaja dan masyarakat kebelakangan ini.
Diinspirasikan daripada drama Korea Selatan bertajuk S-Line yang ditayangkan sejak 11 Julai lalu, setiap garisan merah tertera di atas kepala merupakan simbolik kepada bilangan pasangan seksual yang pernah mereka jalinkan hubungan.
BACA LAGI: Azhar Sulaiman titip rasa syukur, 3 anak tamat belajar 'overseas', dah mula bekerja
Enggan berkompromi dengan sebarang kegiatan maksiat yang semakin dinormalisasikan generasi kini, hal sedemikian boleh menjurus ke arah kerosakan akhlak serta maruah individu.
"Sedangkan perbuatan membuka aib, berbangga dengan dosa dan menormalisasikan maksiat adalah haram serta dilarang keras dalam Islam, bahkan mengundang murka dan bala ALLAH, Na‘uzubillahi min dzalik.
"Tidakkah kita sedar ALLAH yang Maha Penyayang telah menutup aib kita selama ini, tetapi kita sendiri yang membukanya kembali hanya kerana satu trend yang sia-sia?
"Tuan puan, inilah permainan halus syaitan memperelokkan maksiat, menjadikan yang keji tampak biasa, bahkan bergaya," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Turut berpesan kepada ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau kelakuan anak-anak, akses kepada dunia digital tanpa kawalan boleh menghapuskan rasa takut dan malu kepada sang pencipta.
Bahkan, ia juga bakal menjadi detik penyesalan terbesar di akhirat kelak.
"Tuan puan, duhai ibu ayah, guru-guru pantaulah anak-anak kita, jangan terlalu longgar memberi akses kepada dunia digital tanpa bimbingan.
"Nasihat dan doa kita adalah benteng utama agar mereka tidak terjebak dalam arus yang merosakkan. Para guru, jangan jemu menegur, teguran yang kecil hari ini mungkin menyelamatkan satu jiwa esok hari.
"Duhai anak-anak muda Muslim, jangan gadaikan maruah diri hanya kerana ingin dilihat trendy, apa yang kamu anggap biasa hari ini, boleh menjadi penyesalan yang panjang di akhirat nanti," tambahnya.
Terdahulu, pendakwah berkenaan turut lantang bersuara dalam isu kaedah jualan dan promosi minyak wangi yang terlampau menggoda sehingga menjejaskan maruah seseorang wanita.
Menegur segelintir peniaga wanita yang gemar memakai wangian berlebihan demi melariskan produk di pasar raya, tingkah laku itu disifatkan tidak memberi sebarang keberkatan selain turut mengundang dosa besar.
"Rezeki yang diperoleh melalui cara seperti ini bukan lagi keberkatan, tetapi ia satu bentuk perniagaan yang mengundang dosa.
"Kononnya untuk buktikan keberkesanan produk, tapi sayangnya, dalam tidak sedar, tubuh dan bau diri dijadikan umpan ‘tarikan lelaki’ dan bahan promosi," katanya menerusi hantaran Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram