
MENUA bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya pelakon dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim, 47, menganggap ia adalah perjalanan yang wajar disambut dengan hati terbuka.
Tidak dinafikan katanya, peningkatan usia adalah sebahagian daripada kehidupan dan semua individu perlu menerima realiti itu.
Figura versatil tersebut bagaimanapun memilih untuk menua secara sihat dengan mengekalkan gaya hidup aktif, terus bekerja dalam bidang seni dan mengamalkan rutin kecergasan harian tanpa kompromi.
Malah ujarnya, kunci untuk kekal bertenaga dan berfikiran positif adalah dengan tidak berhenti melakukan perkara dicintai.
“Semua orang akan tua, cuma cara kita menua itu yang penting. Saya pilih untuk menua secara sihat, kekal aktif dan terus melakukan perkara yang saya suka seperti berlakon, mengacara dan bersenam.
"Bagi saya, bersenam di gimnasium dan bekerja bukan sekadar rutin, ia sesuatu yang saya benar-benar gemari.
"Secara tak langsung tubuh badan sihat akan membuatkan kita nampak muda," kongsinya kepada Majoriti.
Menurut Sarimah, menjaga kesihatan fizikal bukan hanya soal penampilan, sebaliknya ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keseluruhan.
Bagi Sarimah, kunci kekal bertenaga dan berfikiran positif adalah dengan tidak berhenti melakukan perkara dicintai. — Instagram/sarimahibrahim
Dengan jadual kerja padat termasuk dua filem dan dua drama tahun ini, isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar itu tetap memastikan kesihatan menjadi keutamaan agar dapat terus berkarya dan memberi inspirasi kepada orang ramai.
Beliau menyifatkannya sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat yang mendorong dirinya untuk terus aktif.
Sarimah yang memiliki tali pinggang hitam karate sejak 2012 berkata, beliau akan sentiasa memastikan tubuhnya terus aktif dan bergerak, tidak kira di mana kaki berpijak.
“Kalau dalam kapal terbang pun saya akan berjalan ke depan dan ke belakang untuk cukupkan langkah harian.
"Tonton televisyen pun saya tak duduk, akan berjalan setempat. Tengah penggambaran pun, kalau kena 'sidai', saya jalan sambil menunggu.
"Bagi saya, bergerak itu tanda kita hidup dan sihat," katanya yang kurang gemar menjalankan aktiviti sekadar memenuhi trend semata-mata.
Sarimah (dua dari kanan) bertindak sebagai jurucakap bagi NGO Empati Malaysia. — X/@DrAliziAlias
Seni pertahan diri
Selain latihan beban untuk mengekalkan jisim otot, Sarimah turut mengamalkan seni mempertahankan diri.
Bagi wanita berdarah kacukan Melayu-Irish itu, kekuatan fizikal bukan sekadar untuk penampilan, tetapi juga kesihatan jangka panjang.
Dalam masa sama, Sarimah aktif dalam advokasi kesihatan mental melalui kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Empati yang mempromosikan nilai empati dalam masyarakat.
“Namun kita perlu ada empati terhadap diri sendiri dahulu, barulah boleh menjaga orang lain.
"Saya juga sering memberikan ceramah berkaitan kesihatan mental kerana rakyat yang maju adalah mereka yang sihat dari segi fizikal, mental dan emosi,” katanya yang pernah menjadi penaung Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA).
Sarimah (tengah) bersama anak dan suaminya,Tunku Nadzimuddin (kanan). — Instagram/sarimahibrahim
Berkongsi mengenai gaya didikan terhadap anaknya, Tunku Sofia Najihah, 6, Sarimah menekankan kepentingan nilai murni, adab dan kesedaran tentang realiti hidup.
“Saya mahu anak faham bahawa rupa paras, wang dan status bukanlah segalanya.
"Saya sendiri bermula dari bawah dan membina kerjaya berkat didikan ibu bapa, pendidikan dan nilai-nilai Asia yang dipegang,” bicaranya yang sedang mendalami bidang pembikinan filem. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram