
KADAR kelahiran di Malaysia terus menunjukkan penurunan, namun bayi masih dilahirkan pada kadar purata setiap satu minit.
Berdasarkan data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan bayi lelaki melebihi bayi perempuan pada nisbah 108 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah kelahiran hidup pada suku kedua 2025 mencatat penurunan 7.1 peratus kepada 93,435 kelahiran berbanding 100,558 kelahiran pada tempoh sama tahun lalu.
BACA LAGI: Kadar kelahiran turun 11.5 peratus, terendah pernah direkodkan, bayi lelaki lebih ramai — DOSM
BACA LAGI: Kelahiran bayi berat kurang 2,500 gram di Malaysia semakin membimbangkan
Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah kelahiran hidup pada suku kedua 2025 mencatat penurunan 7.1 peratus kepada 93,435 kelahiran.
"Daripada jumlah tersebut, kelahiran bayi lelaki direkodkan sebanyak 48,444, mengatasi kelahiran bayi perempuan iaitu 44,991," katanya.
Jelasnya, mengikut pecahan negeri, Selangor merekodkan jumlah kelahiran hidup tertinggi dengan 17,605 kelahiran (18.8 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatat angka terendah iaitu 274 kelahiran (0.3 peratus).
Dari segi umur ibu, kumpulan umur 30 hingga 39 tahun mencatat kelahiran tertinggi dengan 48,503 kelahiran (51.9 peratus), diikuti 20 hingga 29 tahun (40.8 peratus), 40 tahun ke atas (5.6 peratus) dan bawah 20 tahun (1.6 peratus).
"Bagi pecahan etnik, kaum Melayu menyumbang 68.7 peratus atau 64,187 daripada jumlah kelahiran, manakala peratusan kelahiran dalam kalangan kaum Cina dan India menurun masing-masing kepada 8.1 peratus dan 3.8 peratus.
"Kumpulan bumiputera lain di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia mencatat sedikit peningkatan kepada 12.9 peratus berbanding 12.6 peratus pada tempoh sama tahun lalu," jelasnya.
Dalam pada itu, jumlah kematian pada suku kedua 2025 menurun tiga peratus kepada 48,408 kes berbanding 49,906 pada tempoh sama tahun lalu.
Namun Mohd Uzir berkata, bilangan lelaki yang meninggal dunia lebih tinggi dengan nisbah 133 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
"Sebanyak 27,607 kematian melibatkan lelaki, berbanding 20,801 kematian melibatkan perempuan.
"Selangor mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 7,820 kes (16.2 peratus), manakala Labuan terendah dengan 68 kes (0.1 peratus).
"Berdasarkan umur, mereka berusia 60 tahun ke atas merekodkan kematian tertinggi iaitu 34,165 kes (70.6 peratus), diikuti 41 hingga 59 tahun (20.1 peratus), 15 hingga 40 tahun (7.3 peratus) dan 0 hingga 14 tahun (dua peratus)," katanya.
Kumpulan umur 30 hingga 39 tahun mencatat kelahiran tertinggi dengan 48,503 kelahiran. — Gambar hiasan Freepik
Mengulas lanjut, tambah Mohd Uzir, walaupun jumlah kelahiran menurun, anggaran penduduk Malaysia pada suku kedua 2025 meningkat sedikit kepada 34.2 juta berbanding 34.1 juta tahun lalu.
Bagaimanapun ujarnya, kadar pertumbuhan penduduk perlahan kepada 0.5 peratus berbanding 1.9 peratus sebelumnya.
Jelasnya lagi, bagi mencapai sasaran pertumbuhan 1.1 peratus seperti dalam Rancangan Malaysia Ke-13, negara perlu menambah kira-kira 400,000 penduduk setiap tahun.
"Penduduk lelaki meningkat kepada 18 juta berbanding 17.9 juta tahun lalu, manakala perempuan bertambah kepada 16.3 juta berbanding 16.2 juta.
"Penduduk berusia 65 tahun ke atas turut meningkat kepada lapan peratus daripada 7.6 peratus pada tempoh sama tahun lalu, manakala penduduk muda (0 hingga 14 tahun) menurun kepada 21.6 peratus daripada 22.2 peritus," maklumnya.
Mohd Uzir turut menegaskan, penurunan kadar kelahiran dan kesuburan adalah trend global yang memberi cabaran besar pada struktur demografi, pertumbuhan ekonomi dan keseimbangan sosial di peringkat negara serta dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram