Isteri pertama derma 80 peratus hati selamatkan nyawa 'madu', bertahun jalani dialisis


  • Cinta
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Pembedahan pemindahan hati itu dilaporkan berjaya selepas ujian perubatan mengesahkan keserasian tisu antara kedua-dua wanita tersebut. — Gambr hiasan

SEORANG wanita di Arab Saudi sanggup mendermakan 80 peratus daripada hatinya kepada isteri kedua suaminya, sekali gus menamatkan penderitaan wanita tersebut yang sekian lama bergelut dengan kegagalan buah pinggang.

Noura Salem Al-Shammari, isteri pertama kepada Majed Baldah Al-Roqi membuat keputusan itu selepas melihat madunya, Taghreed Awadh Al-Saadi menderita selepas bertahun-tahun menjalani rawatan dialisis.

Tindakan luar biasa tersebut mendapat pujian meluas masyarakat tempatan, malah dianggap sebagai contoh keikhlasan dan belas kasihan yang sukar ditandingi.

BACA LAGI: Suami boleh menikah walau isteri pertama tidak setuju? Jangan panik, pertahan hak di mahkamah

BACA LAGI: Bukan suami saja perlu jaga perasaan, sesama madu juga perlu main peranan

Memetik laporan akhbar harian utama di Arab Saudi, Okaz, Majed berkata, Taghreed pernah ke Amerika Syarikat (AS) selama setahun untuk mencari rawatan, namun segala usaha tidak membuahkan hasil.

“Sekembalinya ke tanah air, saya berhasrat untuk mendermakan salah satu buah pinggang saya bagi meringankan penderitaannya,” katanya.

Menurut Majed, beliau menyerahkan amanah menjaga lima anak kepada Noura jika perkara buruk menimpa dirinya semasa pembedahan.

Namun, beliau terkejut apabila Noura memaklumkan kesanggupan mendermakan 80 peratus hatinya kepada Taghreed dengan niat kerana ALLAH SWT.

Pembedahan pemindahan hati itu dilaporkan berjaya selepas ujian perubatan mengesahkan keserasian tisu antara kedua-dua wanita tersebut.

"Beliau hadir seperti hujan yang menyuburkan padang pasir gersang," ujar Majed, menggambarkan tindakan Noura menyelamatkan nyawa isteri keduanya itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram