
WALAUPUN sudah mengamalkan diet sihat secara ketat, seorang wanita berasal dari India terkejut apabila disahkan menghidap kanser kolorektal tahap empat.
Monika Choudhary, 29, yang terkenal dalam kalangan pengikutnya di media sosial kerana amalan 'pemakanan bersih’ tanpa makanan bergoreng atau berminyak, mendedahkan kisahnya menerusi hantaran Instagram pada 30 Julai lalu.
Beliau berkata, diagnosis itu menjadi peringatan penting bahawa pemakanan sihat sahaja tidak mencukupi untuk mencegah penyakit serius seperti kanser.
BACA LAGI: Dulu cuma serang golongan putus haid, kanser endometrium kini ancaman serius wanita muda — Pakar
BACA LAGI: Kanser payudara wanita berkerjaya-suri rumah berisiko merebak lebih cepat tanpa sokongan suami
"Ini kerana faktor lain seperti genetik, persekitaran dan gaya hidup turut memainkan peranan," katanya.
Menurut Choudhary, meskipun menjaga pemakanan dengan teliti, tuntutan kerja yang berat secara perlahan-lahan menjejaskan kesihatannya.
Jelas beliau, tekanan akibat waktu kerja panjang, penggunaan skrin berlebihan, tarikh akhir yang ketat dan gaya hidup sedentari menjadi punca kemerosotan kesihatan mental dan fizikalnya.
Gaya hidup sedentari merujuk pada cara hidup dengan sedikit atau tanpa senaman dan duduk atau baring dalam tempoh lama, pada asasnya melibatkan diri dalam aktiviti fizikal yang minimum.
“Saya sentiasa seorang yang fokus, terutama dalam hal kesihatan. Saya tidak pernah gemar makanan berminyak tetapi apabila mula membangunkan laman web, saya tidak sedar betapa hal itu menuntut kerja yang banyak,” katanya.
Choudhary mengakui, gaya hidup aktif sebelum ini termasuk larian petang yang menjadi rutin harian, semakin diketepikan kerana dirinya perlu memberi sepenuh tumpuan pada kerja.
Beliau sering menangguhkan penjagaan diri dengan alasan akan kembali kepada rutin sihat tidak lama lagi, namun masa itu tidak pernah tiba.
Keadaan menjadi lebih serius apabila tubuhnya mula memberi amaran seperti keletihan melampau, rasa tidak selesa dan gangguan keselesaan badan.
Namun, beliau mengabaikan tanda-tanda itu, menyangka ia hanya berpunca daripada tekanan kerja atau kurang tidur.
Segala-galanya berubah apabila Choudhary disahkan menghidap kanser kolorektal tahap empat.
“Sekarang saya sedar ia bukan hanya soal nasib malang. Ia adalah kesan terkumpul daripada tekanan, keletihan melampau dan pengabaian fizikal berpanjangan.
"Saya belajar dengan cara paling sukar, kita tidak patut korbankan kesihatan untuk apa-apa perkara dalam dunia ini," tulisnya.
Choudhary berharap kisahnya menjadi peringatan kepada orang ramai untuk memberi keutamaan pada kesihatan walau sesibuk mana pun mengejar impian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram