
MELIHAT cawan buatan tangan disediakan di sebuah hotel mencetuskan idea buat Thushani Lovatt, 38, mencipta jenama tembikar yang kini bantu memberi makan kepada ratusan kanak-kanak jalanan di Vietnam.
Segalanya bermula pada 2016 apabila wanita warga Britain yang ketika itu mengajar bahasa Inggeris di Hanoi, tertarik dengan cawan-cawan unik di sebuah kafe tempatan.
Beliau diberitahu cawan itu dihasilkan oleh studio tembikar di Vietnam, yang diusahakan sepenuhnya oleh wanita.
BACA LAGI: [VIDEO] Ada tali pinggang hitam karate, Sarimah pilih menua secara sihat, tak boleh duduk diam
Antara rekaan mangkuk yang dijual oleh jenama Lily and Sophia. — Agensi
Tiga tahun kemudian, wanita kelahiran London itu berpindah ke Singapura dan bekerja di sekolah antarabangsa bukan berasaskan keuntungan, United World College of South East Asia (UWCSEA) bersama suaminya, Tim.
Pasangan itu kembali ke Vietnam pada 2023 untuk bercuti di pantai Hoi An, bersama dua anak kecil mereka.
Di hotel penginapan, beliau sekali lagi terpikat dengan cawan buatan tangan persis yang pernah dilihatnya dahulu.
Lovatt mulai hairan. Terdetik di hati, cawan dari kedua-dua lokasi itu pasti datang dari tempat sama.
“Saya tanya di mana boleh membelinya? Pelayan tidak tahu. Saya tanya lagi keesokan hari dan hari seterusnya.
"Akhirnya, beliau menemui alamat seorang pemborong,” kata wanita berusia 38 tahun itu.
Nguyen Tuyet salah seorang tukang seni wanita di studio tembikar Vietnam yang bekerjasama dengan Lovatt. — Agensi
Hidangan kanak-kanak
Menggunakan perkhidmatan e-haling, wanita tersebut bersama anak-anaknya merentasi sawah padi untuk mengunjungi kedai borong tersebut lalu membeli enam mangkuk cantik.
Namun obsesinya tidak berhenti di situ. Atas sebab yang tidak dapat dijelaskan, beliau rasa terdorong untuk mencari tukang tembikar yang membuatnya.
Selepas berkomunikasi dengan pemborong itu melalui Google Translate kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, Lovatt diminta datang semula keesokan harinya.
Beliau kemudian diberi nama sebuah studio tembikar kecil tanpa laman web atau alamat rasmi Lovatt menemui satu lagi jalan buntu.
Dengan percutian hampir tamat, Lovatt kembali ke Singapura. Namun pencariannya berterusan sehingga beliau menemui sebuah hantaran rawak di syarikat teknologi lokasi, Foursquare yang memaparkan nama studio berkenaan.
Beliau meminta rakannya di Vietnam untuk pergi ke alamat tersebut.
Lovatt (kiri) bersama para tukang seni Vietnam yang kini menjadi rakannya, termasuk pemilik studio tembikar, Vu Toan (dua dari kanan). — Agensi
Studio itu sudah berpindah, tetapi rakannya berjaya menjejaki dan memaklumkan kepada Lovatt bahawa mereka turut menjalankan perniagaan eksport.
Hasilnya, pada 2024 Lovatt menubuhkan jenama Lily and Sophia bersempena nama anak-anaknya, dengan misi berkongsi hasil seni tukang tembikar wanita Vietnam.
Beliau membayar mereka dua hingga tiga kali ganda berbanding harga pasaran, selain turut menyumbang kepada Blue Dragon Children’s Foundation,yang membantu kanak-kanak jalanan dan mangsa pemerdagangan manusia.
Setiap cawan yang dijual menyediakan satu hidangan untuk seorang kanak-kanak gelandangan.
Setiap mangkuk atau pinggan pula menyediakan dua hidangan manakala setiap bekas hidangan besar mampu menyediakan tiga hidangan.
Sejak dilancarkan Februari lalu, Lovatt menjual lebih 492 produk dan menyediakan 822 hidangan.
“Sebagai seorang ibu, sukar membayangkan kanak-kanak tidur dalam kelaparan di jalanan. Ia bukan sekadar makanan, ia adalah harapan,” katanya.
"Ini kerana ia buatan tangan, setiap item adalah unik dengan variasi kecil dari segi saiz, ketebalan, simetri, warna, corak dan tekstur.
“Ia dibuat oleh wanita yang telah mempelajari kemahiran ini sepanjang hidup, kadangkala diwarisi turun-temurun,” ungkapnya.
Kata Lovatt, salah satu sebab beliau memulakan jenama itu adalah kerana mahu menunjukkan kepada anak-anaknya betapa penting untuk berbuat baik. — Agensi
Kejutan budaya
Bekas pengurus acara farmaseutikal itu sanggup meninggalkan kerjaya lumayan demi misi tersebut.
Pada mulanya, ia adalah kejutan budaya untuk Lovatt, motosikal di merata tempat, pho (mi) dijual dari baldi plastik kecil, orang mengangkut sofa tiga tempat duduk dan menjual ikan emas hidup dari motosikal.
Namun yang paling meninggalkan kesan mendalam adalah kebaikan hati rakyat Vietnam. Beliau jatuh cinta pada negara itu.
Pengalaman tinggal di Hanoi mengubah pandangan hidupnya. Beliau belajar erti kepedulian terhadap orang di luar lingkaran sendiri dan tidak mahu hanya mengejar pencapaian seterusnya.
Namun, kemiskinan yang dilihat juga membekas dalam ingatan. Lovatt masih teringat seorang ibu bersama dua anak kecil tidur di kaki lima, membakar sampah untuk menghangatkan badan.
Membuka jenama tembikar memberinya peluang untuk membuat perubahan yang lebih kekal.
Kini di ruang tamu yang penuh dengan stok tembikar buatan tangan, Lovatt mengurus perniagaan kecilnya dengan semangat besar.
Beliau mahu menjadikan setiap hidangan yang sampai kepada kanak-kanak jalanan sebagai warisan kasih daripada sebuah cawan yang pernah menawan hatinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram